Perjalanan menaiki bas mungkin tidak memberi makna kepada kebanyakkan pengguna selain daripada menjadi madah untuk sampai ke sesebuah destinasi.
Tetapi buat Chai Duwei, yang kini menuntut program ijazah sarjana dalam bidang Dasar Awam di University Nasional Singapure (NUS), perjalanan menaiki bas menyingkap memori yang sukar untuk dilupakan dalam hidupnya.
Sewaktu berumur tujuh tahun, Duwei akan megemas barangnya selepas selesai waktu sekolah dan menaiki bas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Setelah tiba di stesen Puduraya, Duwei akan menaiki teksi ke hospital untuk menemani ibunya yang sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di situ. Ini adalah rutinnya pada setiap akhir minggu.
“Sejak ibu saya didiagnos dengan penyakit autoimun, saya perlu menjadi cekal dan berdikari untuk menghadapi takdir ini. Oleh keranya penyakit yang dihidapi, badan ibu juga menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada rawatan sepenuhnya.”
Ibu Duwei merupakan seorang usahawan yang memperkenalkan konsep perniagaan yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikian menyeluruh untuk pen berjenama separa mewah dan mewah. Selepas menimba pengalaman selama bertahun-tahun dalam bidang tersebut di Singapura, ibu Duwei kembali ke Johor Bahru untuk memulakan perniagaannya.
“Ia bukan mudah untuk saya sebagai seorang anak melihat ibu yang dahulu penuh dengan senyuman dan semangat tiba-tiba berhenti menjadi dirinya sendiri. Saya tahu pengalaman itu amat memeritkan untuknya juga, dan saya bertekad untuk menjadikan hidupnya lebih mudah dan selesa,” kata Duwei.
Walaupun Duwei hanya seorang kanak-kanak di sekolah rendah, selain dari menaiki bus setiap minggu, Duwei juga belajar untuk menguruskan rumah dan perbelanjaan keluarga, merentasi negeri seorang diri, memberi ubat, dan menjadi tunjang kekuatan untuk ibunya, yang menjadi satu-satunya ahli keluarga rapatnya selepas ibu dan bapanya bercerai.
Duwei dan ibunya kemudian berpindah ke Kuala Lumpur supaya ibunya dapat menerima rawatan dengan lebih kerap.
“Kita tidak boleh memilih nasib yang menimpa, tetapi kita boleh mengubah bagaimana kita melihat persektif kehidupan. Kita boleh terus mengeluh dan bertanya mengapa kita sentiasa hidup dalam kesusahan . Kita boleh terus bergelumang dalam rantaian rasa malu yang sentiasa mencari salah orang lain. Atau kita boleh mengubah perspektif kita supaya hidup menjadi lebih positif.
“Bagi saya, pengalaman membesar di samping menjaga ibu saya yang sakit menjadikan kami lebih rapat. Kami hanya mempunyai satu sama lain dan hubungan itu sangat berharga,” kata Duwei.
Duwei yang kini berumur 30 tahun berkata pengalaman masa kecilnya memberi beliau kelebihan berbanding rakan-rakan seusianya yang lain. Beliau menjadi matang, kritikal dan pragmatik dengan lebih pantas. Pengalaman masa laluDuwei tidak pernah mematahkan semangatnya untuk mengejar cita-citanya.
“Keadaan ibu membuatkan saya sedar betapa pentingnya untuk setiap individu mempunyai sistem sokongan yang kuat, terutamanya bagi mereka yang hidup dalam kesusahan. Saya menjadikan pengalaman kami anak beranak sebagai penyuntik semangat untuk menambah baik sistem sokongan untuk golongan yang memerlukan dalam masyarakat dari sudut undang-undang,” katanya.
Duwei yang meneruskan persekolahan sambil menjaga ibunya memperoleh keputusan 5A dan 5B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau meneruskan pembelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan mencapai keputusan yang membanggakan sehingga membuka pintu untuknya meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM).
Titik perubahan
Sebuah keratan akhbar dengan peluang biasiswa oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menjadi pencetus kepada ekosistem sokongan yang diimpikan Duwei. Sehingga hari ini, beliau bersyukur kerana telah menjadi salah satu penerima biasiswa PIDM.
“Saya memohon biasiswa PIDM dan menghadiri temuduga yang diaturkan. Setelah diterima saya mula berkenalan dengan pegawai-pegawai PIDM yang sentiasa memberi inspirasi kepada penerima biasiswa untuk berani mengejar impian dengan menambah baik keperibadian dan kemahiran. Mereka turut meyakinkan saya bahawa saya layak dan mampu untuk berjaya dengan kemampuan sendiri,” kata Duwei.
“Biasiswa yang diberikan membantu saya untuk membayar yuran pengajian sepenuhnya. Saya dan ibu hidup dalam kesederhanaan. Pada mulanya kami hanya bergantung kepada simpanan ibu, bantuan dari saudara mara dan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300. Elaun bulanan yang diberikan PIDM amat membantu kami dan membolehkan saya mengurangkan kebergantungan pada kerja sambilan dan menghabiskan lebih masa bersama ibu.”
Duwei mengenang pengalaman menghadiri sesi bengkel dan perkenalan bersama alumni biasiswa PIDM yang lain di ibu pejabat PIDM. Beliau menambah kenalan, mendalami pemahaman dalam industri perundangan dan kewangan, serta membuka jalan untuknya mendapat pelbagai peluang lain dalam mengejar cita-citanya.
Tanpa Duwei sedar, peluang mendapat biasiswa tersebut telah memberinya sokongan yang jauh lebih bermakna dari sekadar bantuan kewangan dan profesional. Perkenalan dengan pegawai-pegawai PIDM yang kemudian menjadi mentornya telah memberi sokongan terbesar dalam saat-saat yang paling sukar dalam hidupnya.
Semasa menjalani program pertukaran pelajar di Amerika Syarikat, ibu Duwei meninggal dunia setelah lebih sedekad bertarung dengan penyakit autoimun.Keadaan ibunya ketika itu sangat tenat, dan ibunya terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan dan dijaga oleh ahli keluarga terdekat di Kuala Lumpur.
“Saya masih ingat lagi apa yang bermain dalam pemikiran saya sebelum berlepas ke Amerika Syarikat. Ia pasti amat susah untuk ibu melepaskan saya pergi selama enam bulan. Saya meminta keizinan dan doa darinya dan beliau memberikannya tanpa teragak-agak.
“Kini saya sedar beliau telah mencuba yang terbaik untuk menunjukkan kekuatannya supaya saya tidak merasa risau meninggalkannya di Malaysia.
Masih segar dalam ingatan Duwei kata-kata terakhir ibunya pada hari beliau meminta izin untuk berlepas, “Pergilah dan luaskan pengalaman hidupmu seluas langit biru.”
“Seminggu selepas itu saya menerima panggilan dari saudara yang memberitahu bahawa ibu telah meninggal dunia. Pada waktu itu, mentor-mentor saya di PIDM, terutamanya Yam Poh (Lim Yam Poh merupakan Ketua Pegawai Operasi dan Kaunsel Am di PIDM) menjadi tunjang kekuatan saya. Bersama dengan pegawai-pegawai lain di PIDM yang memberi sokongan, beliau membantu saya dengan menghubungkan saya kepada khidmat bantuan untuk menguruskan penukaran pentadbir estet peninggalan ibu saya.”
“Sebenarnya, bantuan dan sokongan tambahan yang diberikan oleh PIDM tidak termaktub dalam syarat-syarat pemberian biasiswa. Tetapi mereka memilih untuk melakukan lebih dari yang sepatutnya untuk membantu saya. Ia menjadikan PIDM sebuah organisasi yang amat berperikemanusiaan dalam cara mereka berinteraksi dengan penerima biasiswa. Bukan sahaja saya, tetapi kami semua merasa istimewa dengan cara PIDM membantu dan memberikan sokongan kepada kami,” katanya.
Setelah menamatkan pengajian ijazah sarjana mudanya, Duwei memulakan kariernya di sebuah firma guaman sebelum mengejar minatnya dalam bidang seni dan budaya sebagai pengurus dasar dan kaji selidik di sebuah agensi kerajaan. Menyedari bahawa beliau telah menjumpai minatnya yang sebenar, Duwei membuat permohonan kepada NUS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dengan biasiswa dari sebuah yayasan persendirian.
Duwei yang bakal menamatkan pengajiannya dalam masa tiga bulan lagimenetap di Singapura sepanjang tempoh pandemik COVID-19. Katanya beliau tidak sabar untuk pulang dan menyumbang kepada negara sebagai penggubal dasar.
“Ini adalah permulaan untuk mencapai impian saya. Impian ibu untuk saya adalah setinggi langit biru dan saya akan terus berusaha untuk mencapainya demi ibu”.