Bahagian 3: Deposit Islam yang dilindungi oleh PIDM
Institusi perbankan Islam adalah pengantara kewangan yang menerima deposit daripada pelanggan dan menawarkan kemudahan pembiayaan kepada pelanggan. Di Malaysia, ia tertakluk kepada keperluan undang-undang, Syariah dan dasar Bank Negara Malaysia.
Deposit Islam secara amnya dikelaskan kepada deposit permintaan dan bukan permintaan. Deposit permintaan adalah produk deposit yang membenarkan pendeposit mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa seperti akaun simpanan dan akaun semasa. Sebaliknya, deposit bukan permintaan mempunyai tempoh kematangan. Suatu contoh deposit bukan permintaan adalah akaun deposit tetap Islam.
Deposit Islam berbeza daripada deposit konvensional berikutan keperluan Syariah. Sebahagian daripada keperluan tersebut adalah penggunaan konsep atau kontrak Syariah, dan penghapusan pulangan yang tidak patuh Syariah (atau riba dalam Bahasa Arab) dalam produk deposit.
Terdapat dua konsep atau kontrak Syariah yang biasa digunakan dalam deposit Islam oleh institusi perbankan Islam di Malaysia:
- Qard (pinjamin tanpa pulangan yang tidak patuh Syariah) – deposit qard ialah apabila pendeposit menyimpan sejumpah wang tanpa keuntungan kontrak selepas pengeluaran penuh. Bagaimanapun, pulangan atau keuntungan boleh diberikan kepada pendeposit sekiranya ia adalah hadiah bukan kontrak daripada institusi perbankan Islam. Kontrak qard kebanyakannya diguna pakai bagi deposit permintaan
- Tawarruq (dagangan komoditi bagi tujuan mendapatkan tunai) – deposit tawarruq membolehkan pendeposit memperoleh keuntungan kontrak. Keuntungan itu diperoleh daripada dagangan komoditi yang dilaksanakan sebagai mekanisme bagi pelanggan membuat simpanan. Konsep tawarruq kebanyakannya diguna pakai bagi deposit tetap atau deposit berjangka Islam lain. Bagaimanapun, institusi perbankan Islam juga telah mula mengguna pakai konsep tawarruq bagi deposit permintaan.
Di bawah Sistem Insurans Deposit Islam (“SIDI”), produk deposit seperti akaun simpanan, semasa dan deposit tetap dilindungi oleh PIDM. Ini adalah akaun bank yang biasa disimpan oleh orang awam di Malaysia . Produk yang tidak dilindungi oleh PIDM termasuk instrumen deposit yang boleh dirunding, produk berstruktur dan deposit bagi penempatan pasaran wang antara bank.
Fakta-fakta penting lain tentang perlindungan deposit Islam oleh PIDM di bawah SIDI adalah seperti berikut:
- PIDM melindungi deposit Islam yang disimpan di institusi perbankan Islam yang merupakan ahli PIDM sahaja.
- PIDM melindungi deposit sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Perlindungan PIDM adalah automatik – tiada permohonan atau bayaran diperlukan.PIDM melindungi deposit Islam seseorang pendeposit yang dipegang oleh bank konvensional yang menawarkan produk perbankan Islam secara berasingan daripada deposit konvensional yang disimpan beliau dalam bank yang sama.
- Akaun amanah, akaun bersama dan akaun perniagaan (seperti akaun yang dipegang oleh syarikat milikan tunggal, perkongsian, amalan profesional dan syarikat), dilindungi secara berasingan daripada akaun individu.
Pendeposit yang sanggup mengambil risiko kewangan yang lebih tinggi cenderung mencari produk pelaburan yang memiliki pulangan lebih baik. Bagaimanapun, PIDM TIDAK melindungi mana-mana produk pelaburan seperti akaun pelaburan dan akaun pelaburan berkaitan emas, kerana PIDM tidak melindungi risiko pelaburan.
Dalam siri seterusnya, Bahagian 4, kami akan berkongsi bagaimana PIDM mendapatkan dana dan menggunakan dana yang dikumpul bagi perlindungan deposit Islam.
Sila klik di
sini untuk memuat turun artikel.