Sistem Perlindungan Patuh Syariah PIDM - Bahagian 1

Bahagian 1: Perlindungan deposit dalam sistem perbankan Islam

Perlindungan harta merupakan satu daripada objektif Syariah; objektif lain adalah melindungi iman atau agama, melindungi nyawa atau diri manusia, melindungi intelek atau minda dan melindungi keturunan.

Justeru, Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk dengan kebanyakan daripada penduduknya beragama Islam, telah mengguna pakai sistem dwiperbankan – yang mana sistem perbankan konvensional beroperasi seiringan dengan perbankan Islam, tanpa bercampur antara satu sama lain – sejak awal 80-an lagi.

Ahli ekonomi dan penulis, Mushtak Parker, melihat bahawa “perjalanan Malaysia ke arah mencapai kesetaraan sistem dwikewangan dalam tempoh hanya lebih kurang tiga dekad benar-benar luar biasa dan mengagumkan.”¹ Menurut Fitch Ratings, bahagian pembiayaan Islam dalam sistem perbankan mencecah 37% pada akhir tahun 2020, meningkat daripada 35% pada akhir tahun 2019, dengan pembiayaan Islam menyumbang hampir keseluruhan daripada pertumbuhan sektor perbankan pada tahun 2020.² Ini dipacu oleh pembiayaan isi rumah dan bank-bank yang mempromosikan produk Islam sebagai sebahagian daripada strategi "Islamic First" .

Bagaimanapun, dengan pertumbuhan seumpama itu dan cabaran ekonomi semasa, ramai yang ingin mengetahui sama ada deposit mereka dalam sistem perbankan Islam dilindungi. Jawapannya adalah “Ya”. Perlindungan itu adalah bagi tujuan untuk menggalakkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan Malaysia.

Insurans deposit adalah sistem yang melindungi simpanan atau deposit dalam bank sekiranya sesebuah bank mengalami kegagalan, atau dengan kata lain, muflis. Di Malaysia, Kerajaan menubuhkan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) pada tahun 2005 untuk mentadbir Sistem Insurans Deposit (SID) di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia. SID melindungi deposit sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli PIDM sekiranya berlaku kegagalan sesebuah bank ahlinya. Perlindungan disediakan secara automatik oleh PIDM, tanpa sebarang permohonan atau pembayaran.

Sekiranya berlaku kegagalan sesebuah bank ahlinya, PIDM akan memastikan pendeposit yang dilindungi akan terus mempunyai akses kepada deposit mereka. Penting bagi orang awam untuk mengetahui bahawa wang mereka yang disimpan di bank ahli dilindungi oleh PIDM kerana ini akan memberikan keyakinan kepada mereka terhadap kestabilan sistem perbankan. Ini, seterusnya akan mengelakkan pengeluaran deposit secara besar-besaran apabila sesebuah bank ahli berdepan masalah kewangan atau berita palsu dan khabar angin berkaitan dengan bank ahli tular di media.

Daripada perspektif Syariah, insurans depositadalah suatu sistem yang diharuskan. Namun, sistem itu masih perlu ditadbir berlandaskan keperluan Syariah. Sistem insurans deposit yang berlandaskan keperluan Syariah memenuhi dua tujuan. Pertama, sekiranya pembayaran balik akan dibuat oleh PIDM,³ ia boleh dibayar menerusi sumber dana patuh Syariah PIDM. Kedua, ia melengkapkan sistem kewangan Islam Malaysia bagi sistem perbankan patuh Syariah yang menyeluruh.

Sistem Insurans Deposit Islam (SIDI) PIDM adalah patuh Syariah. Ini bermakna keseluruhan operasi sistem itu, seperti penerimaan dan pengurusan premium serta resolusi kegagalan sesebuah institusi perbankan Islam ahli (IPIA) yang gagal, perlu bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti pulangan yang tidak patuh Syariah, perjudian dan ketidakpastian (sebagai contoh, ketidakpastian berhubung terma-terma kontrak). Bagi tujuan ini, PIDM merujuk dan mengguna pakai fatwa Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia – pihak berkuasa Syariah tertinggi yang memberikan fatwa berhubung perkara berkaitan perbankan Islam dan takaful di Malaysia.

Objektif dan ciri-ciri SIDI serta Sistem Insurans Deposit Konvensional adalah sama. Bagaimanapun, terdapat beberapa ciri unik SIDI yang disebabkan oleh keperluan Syariah, seperti berikut:
  • Perlindungan deposit Islam;
  • Pergasingan premium yang diterima daripada perniagaan perbankan Islam dan konvensional bank-bank ahli PIPM dan penyenggaraan premium ini secara berasingan masing-masing dalam Dana Insurans Deposit Islam (DIDI) dan Dana Insurans Deposit Konvensionalnya; 
  • Resolusi IPIA yang gagal mengikut keperluan Syariah;
  • Penggunaan DIDI bagi perbelanjaan harian yang dibenarkan, dan
  • Pelaburan dan penempatan lebihan DIDI dalam instrumen patuh Syariah
Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menjangka separuh daripada aset perbankan Malaysia akan disumbangkan oleh aset patuh Syariah menjelang 2030,4 dan ketika perbankan Islam terus berkembang, PIDM menerusi mandatnya, akan terus mengukuhkan insurans deposit negara dan fungsi-fungsi resolusi kegagalan bagi memastikan perlindungan berterusan terhadap deposit Islam yang diinsuranskan.

Akan datang:

Bahagian 2: Pengaturan Syariah bagi Sistem Insurans Deposit Islam PIDM

Sila klik di sini untuk memuat turun artikel.
Share to