Bahagian 5: Sistem Perlindungan Manfaat Takaful PIDM
Seperti yang dikongsikan dalam Bahagian 1 siri ini, PIDM ditubuhkan pada tahun 2005 dengan mandat melindungi pendeposit di Malaysia daripada kehilangan deposit mereka sekiranya sesebuah bank ahli PIDM gagal, atau dalam kata lain, menjadi muflis. Pada akhir tahun 2010, mandat PIDM diperluaskan dengan mencakupi pentadbiran Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans. Di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans, PIDM menyediakan perlindungan kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans daripada kehilangan manfaat takaful atau insurans mereka yang layak sekiranya sesebuah ahli penginsurans (iaitu, sebuah pengendali takaful atau syarikat insurans) mengalami kegagalan dan tidak dapat memenuhi obligasinya untuk membayar manfaat takaful atau insurans.
Manfaat takaful adalah manfaat yang akan diterima oleh pemilik atau benefisiari sijil takaful daripada pengendali takaful apabila berlakunya peristiwa tertentu (seperti tuntutan, kematangan atau serahan sijil takaful), tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. Manfaat ini bersama-sama dengan terma dan syarat, dinyatakan dalam perjanjian takaful yang ditandatangani antara pemilik sijil dan pengendali takaful.
Perlindungan manfaat takaful ditadbir oleh PIDM di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful (SPMT), yang beroperasi bersama-sama dengan Sistem Perlindungan Manfaat Insurans. Apabila sesebuah pengendali takaful mengalami kegagalan, PIDM akan memastikan pemilik atau benefisiari sijil takaful yang dilindungi akan terus mempunyai akses kepada manfaat takaful mereka.
Sebagai contoh, katakanlah Lisa membuat tuntutan kepada pengendali takaful selepas terlibat dalam satu kemalangan kereta. Sementara menunggu tuntutan beliau dibayar, pengendali takaful tersebut menjadi muflis. Dalam situasi ini, sekiranya tuntutan beliau adalah manfaat yang layak di bawah SPMT, Lisa tidak perlu bimbang kerana beliau akan terus mempunyai akses kepada manfaat takaful beliau.
Sila klik di
sini untuk memuat turun artikel.