PIDM menyertai perbincangan panel ‘Saving Towards Financial Resilience’ anjuran UNCDF

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) baru-baru ini menyertai perbincangan panel mengenai peranan simpanan dalam membina daya tahan kewangan seseorang individu.

Perbincangan panel yang bertajuk ‘Saving Towards Financial Resilience’ itu dianjurkan oleh United Nations Capital Development Fund (UNCDF). Ia merupakan sebahagian daripada siri perbincangan mengenai ekonomi digital yang lebih inklusif dan kesihatan kewangan. Perbincangan panel ini dianjurkan sempena acara Singapore Fintech Festival pada 7 hingga 11 Disember 2020.

Lim Yam Poh, Ketua Pegawai Operasi dan Kaunsel Am PIDM, mengongsikan beberapa penemuan kajian yang ditaja oleh PIDM pada tahun 2020 mengenai landskap pendidikan kewangan di Malaysia. Kajian ini mengetengahkan isu tentang cara penyampaian pendidikan kewangan dan cabaran dalam mendidik populasi Malaysia, antaranya:
  • Pelbagai usaha telah dijalankan oleh industri kewangan untuk mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan belia dan kanak-kanak. Namun begitu, masih banyak yang boleh dilakukan untuk mendidik warga tua, golongan berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.
  • Meskipun terdapat pelbagai sumber pendidikan kewangan, ia tidak menjamin tabiat dan literasi kewangan yang lebih baik. Ini mungkin kerana sikap seseorang individu dan juga halangan lain seperti tahap pendidikan, pendapatan dan literasi digital yang rendah.
  • Terdapat keperluan untuk mengadakan kaedah yang lebih efektif untuk menilai program literasi kewangan dan kandungannya. Program literasi kewangan kini sama ada bersifat generik atau teknikal (khusus kepada produk tertentu) dan tidak terbukti menyumbang kepada perubahan tingkah laku yang lebih baik.
Memandangkan PIDM merupakan sebuah penginsurans deposit, menyimpan wang untuk kegunaan kecemasan merupakan aspek literasi kewangan yang paling penting bagi PIDM. Sekiranya sebuah bank ahli mengalami kegagalan (muflis), PIDM akan memastikan pendeposit bank ahli tersebut dapat mengakses simpanan mereka tanpa sebarang gangguan.

“Persekitaran semasa kita kini menunjukkan betapa pentingnya simpanan kecemasan, tidak kira sama ada anda seorang individu, syarikat atau kerajaan. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai tabiat menabung lebih berdaya tahan dalam menghadapi tekanan kewangan. Mereka juga tidak mudah terjerumus dalam hutang serta kesulitan kewangan dan masalah psikologi yang sukar untuk pulih daripada. Mereka juga dapat meneruskan tabiat menabung ini apabila keadaan menjadi lebih baik,” kata Lim.

“Namun begitu, fokus literasi kewangan tidak boleh tertumpu pada simpanan kecemasan sahaja. Bergantung kepada situasi (contohnya umur, pendapatan dan pekerjaan) dan keperluan seseorang individu, mereka memerlukan gabungan alat atau produk kewangan berlainan supaya mereka dapat menyokong daya tahan kewangan mereka dengan lebih baik.”

Turut menghadiri perbincangan panel tersebut adalah Hawati Abdul Hamid, Penyelidik Bersekutu Kanan daripada Khazanah Research Institute, Parul Khanna, Pengasas Bersama pinBox, dan Francesca Chia, Pengasas Bersama platform pekerjaan gig GoGet. Perbincangan panel tersebut dikendalikan oleh Audrey Misquith, Ketua Data dan Pemerhatian – Kesihatan Kewangan daripada UNCDF.

Antara pemerhatian utama yang dikongsikan melalui perbincangan panel tersebut adalah:
  1. Kajian mendapati bahawa kumpulan tertentu, seperti mereka yang bekerja sendiri, bersara dan akan bersara, secara amnya sukar menghadapi kejutan kewangan. Antara sebab mereka mempunyai simpanan yang rendah adalah kerana hutang yang tinggi disebabkan oleh perolehan hartanah. Walaupun ini boleh dianggap sebagai simpanan paksaan untuk pengumpulan kekayaan, harta benda adalah proksi simpanan kecemasan yang tidak efektif ketika menghadapi kejutan kewangan. Perlindungan sosial juga diperlukan untuk melengkapi usaha untuk membantu individu-individu ini untuk menjadi lebih berdaya tahan dari segi kewangan.
  1. Produk kewangan juga boleh ditawarkan supaya ia boleh diperolehi golongan berpendapatan rendah. Industri perkhidmatan kewangan harus mempertimbangkan untuk mengadakan produk kewangan berasaskan pekerjaan dan bukan berasaskan tujuan. Ini membolehkan orang ramai memiliki produk yang lebih relevan dengan keperluan mereka. Sebagai contoh, pinBox menawarkan produk pencen mikro yang membolehkan golongan berpendapatan rendah membina dana pencen yang berpatutan untuk persaraan yang bermaruah, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai manfaat pekerjaan yang tetap.
  1. Alat dan program digital berpotensi tinggi untuk membantu seseorang individu membina simpanan terutama bagi mereka yang tidak berpendapatan tetap, seperti pekerja-pekerja dalam ekonomi gig. GoGet misalnya, memprogramkan 'peringatan' untuk pekerja gig dalam platform GoGetternya pada detik-detik yang relevan supaya mereka dapat menyimpan dengan lebih baik atau membeli insurans. Rakan kongsi fintech GoGet membenarkan GoGetters melakukan simpanan serendah 1 sen dan membeli insurans dengan harga serendah RM1 sehari. Oleh kerana para GoGetter tidak mempunyai pendapatan yang tetap, aplikasi tersebut akan ‘mengingatkan’ mereka untuk membuat simpanan apabila mendapat pembayaran yang berjumlah besarIa juga akan meminta para GoGetter untuk mempertimbangkan pembelian insurans sekiranya keadaan memerlukannya, seperti dalam situasi GoGetter tersebut mendapat pekerjaan dengan tempoh yang lebih panjang.
Kesimpulannya, panel tersebut menyatakan bahawa terdapat pelbagai potensi kerjasama antara sektor awam, swasta dan social dalam bidang ini. Terdapat juga pelbagai iktibar yang boleh diperolehi melalui perkongsian dengan organisasi-organisasi yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang ini seperti UNCDF. Pada 17 Disember 2020, PIDM dan UNCDF mengumumkan penandatanganan Memorandum Persefahaman dan kolaborasi pertama mereka untuk menyampaikan kandungan berkaitan literasi kewangan kepada para GoGetters. UNCDF akan membantu menyokong penilaian keberkesanan bahan penyampaian dan program ini.
Share to