PIDM teruskan advokasi daya tahan kewangan dengan kempen #SediaPayungKewangan

Melancarkan laman web mikro dan akaun IG ikon pengurusan kewangan PIDM, Chief BerUang

Kuala Lumpur, 26 Julai 2022: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini melancarkan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan yang kedua, dan merasmikan laman web mikro kempen serta akaun Instagram Chief BerUang, ikon pengurusan kewangan PIDM yang baik, iaitu @chief.beruang. Orang ramai boleh menjangkakan pelbagai pengaktifan aktiviti fizikal dan digital apabila kempen ini berlangsung secara hibrid bermula hari ini sehingga 30 September 2022.
 
Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi, Naib Presiden Eksekutif PIDM, berkata kesan pandemik COVID-19, di tengah-tengah ketidaktentuan lain dalam ekonomi, telah menekankan bahawa literasi kewangan adalah kemahiran hidup yang diperlukan dalam membina daya tahan individu dan mengurangkan potensi kesan kewangan ketika waktu di luar jangkaan.
 
“Kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa mereka tidak perlu menunggu peristiwa yang memberi kesan kepada kehidupan seperti pandemik untuk mengetahui sama ada mereka berdaya tahan dari segi kewangan atau tidak, mahupun untuk mula membaiki kedudukan kewangan mereka. Kempen #SediaPayungKewangan kami bertujuan untuk membina daya tahan rakyat Malaysia melalui pengetahuan kewangan,” kata Wan Ahmad Ikram pada majlis pelancaran acara tersebut.
 
“Kami juga akan memanfaatkan Chief BerUang, yang merupakan ikon pengurusan kewangan PIDM yang baik, sebagai medium untuk menyampaikan mesej mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang baik dalam siri video animasi baharu yang menampilkan beliau sebagai hos bual bicara. Orang ramai juga boleh mengikuti Chief BerUang di akaun Instagram baharunya @chief.beruang untuk mendapatkan tip dan maklumat kewangan serta kandungan literasi kewangan yang mudah difahami,” tambah Wan Ahmad Ikram.
 
Kempen #SediaPayungKewangan menyasarkan terutamanya golongan milenial di pelbagai peringkat kehidupan – bujang yang bekerja, pasangan suami isteri yang bekerja dengan atau tanpa anak – dan bertujuan untuk mendorong perbualan dalam kalangan orang ramai, untuk lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan dan kecemasan. Melalui kempen ini, PIDM juga bertujuan untuk memastikan perbualan ini dapat disemai dan dikekalkan dalam kehidupan seharian masyarakat.
 
Salah satu sorotan utama kempen ini ialah Kalkulator SPK, suatu platform interaktif yang mengimbangkan pendapatan dan perbelanjaan individu dan membuat pengiraan berapa banyak yang diperlukan untuk simpanan tabung kecemasan. Kalkulator ini percuma untuk digunakan dan tidak memerlukan pendaftaran. Sesiapa yang berminat untuk membina tabung kecemasan boleh menggunakan Kalkulator SPK untuk menilai kecukupan kewangan mereka untuk masa kecemasan.
 
Sebagai sebahagian daripada aktiviti, PIDM akan menganjurkan jerayawara (“roadshow”) di empat negeri, bermula dengan Lembah Klang pada 6 Ogos, dan bergerak ke selatan ke Seremban, Melaka dan Johor, meliputi 25 lokasi selama 21 hari. Orang ramai dijemput untuk melihat PIDM Kombi Van dan menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan serta berpeluang memenangi hadiah dalam pertandingan foto. Butiran mengenai lokasi dan tarikh PIDM Kombi Van akan dikemas kini secara berkala di akaun Facebook PIDM dan akaun Instagram Chief BerUang.
 
Di samping itu, orang ramai juga boleh pergi ke laman web mikro #SediaPayungKewangan untuk mengakses video dan artikel untuk membimbing mereka menjadi lebih berdaya tahan kewangan.
 
#SediaPayungKewangan dilancarkan pada tahun 2021 dan meraih capaian lebih daripada 9.5 juta menerusi pelbagai saluran digital sementara tiga siri video animasi pertama “Borak Bersama Chief BerUang” mencatatkan 3.9 juta tontonan kumulatif di Facebook dan YouTube.
 
Layari www.pidm.gov.my/SPK untuk maklumat dan aktiviti kempen.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Komunikasi Korporat​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to