Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2022 untuk memacu agenda literasi kewangan Malaysia

Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (NFLS) 2022 anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini telah membincangkan pelbagai isu berkaitan literasi dan rangkuman kewangan, yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan kewangan rakyat Malaysia. Simposium tersebut dianjurkan bersama oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) bersempena dengan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 20221, sebuah acara tahunan yang berlangsung selama sebulan pada setiap bulan Oktober.
 
Bertemakan Advancing Financial Literacy Towards Rebuilding Financial Resilience Post-Pandemic, simposium tersebut telah menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik dan kumpulan pemikir (think-tanks), bersama penggubal polisi dan pengamal industri untuk menjana idea baharu bagi mencapai hasil strategik yang dijangkakan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 dan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan (2019 - 2023).
 
Timbalan Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucaptama beliau di NFLS 2022, menekankan bahawa “pandangan yang diperolehi daripada penyelidikan adalah penting untuk membangunkan intervensi bersasar bagi menangani keperluan pendidikan kewangan dalam kalangan penduduk Malaysia”.
 
Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Dari Segi Permintaan (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey - FCI) 2021 yang dilaporkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama BNM 2022, mendedahkan kesan ke atas keupayaan kewangan rakyat Malaysia berbeza akibat pandemik COVID-19. Secara positif, pandemik ini telah mendorong rakyat Malaysia untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan tempoh yang sukar, manakala ramai pula yang menghadapi kesukaran untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menangani situasi mereka.
 
“Oleh itu, dapatan daripada Kaji Selidik FCI 2021 telah memberikan input bernilai dalam memfokuskan semula pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 - 2023”.
 
Menurut Tan Sri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Pengerusi PIDM, “Simposium ini telah mengetengahkan pelbagai penyelidikan mengenai literasi kewangan dan menghasilkan beberapa pandangan berharga yang boleh membantu penggubal polisi, pengamal industri dan pendukung literasi kewangan bagi membangunkan strategi yang lebih berkesan dalam menyediakan pendidikan kewangan yang lebih mampan dan berimpak kepada rakyat Malaysia”.
 
NFLS 2022 telah dianjurkan dengan tujuan untuk memangkinkan penyelidikan mengenai literasi kewangan dan merapatkan jurang antara teori dan amalan, serta membawa lebih banyak pendekatan berasaskan bukti bagi penggubalan polisi dan pelaksanaan strategi untuk mencapai hasil yang diinginkan. 

Simposium tersebut menampilkan barisan penceramah, moderator, ahli panel termasuk wakil kanan daripada FEN, industri kewangan, ahli akademik dan kumpulan pemikir (think-tanks), serta penyertaan antarabangsa daripada Money and Pensions Service United Kingdom (MaPS), Behavioural Insights Team, dan pelbagai institusi lain seperti Alliance for Financial Inclusion (AFI) dan The World Bank Group.
 
Sebelum NFLS 2022, sebanyak 62 serahan ringkasan penyelidikan telah diterima daripada penyelidik tempatan dan luar negara yang kemudian disenarai pendekkan kepada 20 kertas kerja meliputi pelbagai dimensi literasi kewangan, yang termasuk:
  • Pengalaman konsumer daripada pandemik COVID-19
  • Hubungan polisi literasi kewangan dan rangkuman kewangan
  • Tingkah laku kewangan golongan belia dan millennial
  • Literasi kewangan digital
  
Tiga kertas kerja yang terbaik telah menerima anugerah, iaitu:
  • Does Financial Literacy improve Financial Inclusion in Developing Countries? A Nonlinearity and Quantile Regression Analysis’ oleh Abd Rahim Md Jamil, Law Siong Hook, dan Mohamad Khair Afham (Universiti Putra Malaysia, Malaysia);
  • The Impact of Classroom Financial Education Program: An Experimental Study Among Low Self-Control Young Adults’ oleh Amer Azlan Abd Jamal (Universiti Malaysia Sabah, Malaysia), Karen Rowlingson (University of York, United Kingdom) dan Lee Gregory (University of Nottingham, United Kingdom); dan
  • Supporting SMEs Financial Resilience during Crises: A Framework to Evaluate the Effectiveness of Financial Literacy Programs Targeting SMEs’ oleh Dalal Aassouli (Hamad bin Khalifa University, Qatar) dan Habib Ahmed (Durham University, United Kingdom).

20 kertas kerja terpilih tersebut akan diberi peluang penerbitan dalam satu jurnal akademik edisi khas.
 

DITERBITKAN OLEH PERBADANAN INSURANS DEPOSIT MALAYSIA BAGI PIHAK JARINGAN PENDIDIKAN KEWANGAN.

 
Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan
Ditubuhkan pada 2016, FEN bertindak sebagai satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi bagi menambahkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang-peluang baharu untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dapat dilaksanakan melalui lebih banyak usaha penjajaran, kerjasama erat dan lebih tumpuan terhadap penilaian impak. Anggotanya terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.
 
 
1 FLM adalah acara tahunan utama bagi FEN yang menampilkan pelbagai inisiatif pendidikan kewangan (FE) bertujuan untuk mengetengahkan dan menangani isu-isu kewangan utama yang dihadapi oleh orang ramai. Pada tahun-tahun sebelum ini, FLM telah mencapai capaian yang luas dengan menganjurkan 250 program yang telah memanfaatkan lebih 14 juta rakyat Malaysia pada FLM2020 dan FLM2021.
 
Share to