Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang juga merupakan Pengerusi International Association of Deposit Insurers (IADI) Asia Pacific Research Technical Committee menyarankan kerjasama lebih erat dalam kalangan pihak berkuasa serantau bagi mencari pendekatan resolusi yang paling sesuai untuk rantau ini susulan cabaran baharu yang dihadapi oleh penginsurans deposit di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata demikian baru-baru ini pada satu forum mengenai usaha antarabangsa dan serantau dalam mempertingkatkan kebolehselesaian (resolvability) bank yang bertemakan “Synergising Regional and Global Perspectives in Bank Resolution”. Topik perbincangan utama termasuklah persediaan mendepani krisis serantau dan resolusi rentas sempadan, menangani kegagalan bank bersaiz kecil hingga sederhana, dan cabaran serta peluang baharu yang tercetus daripada teknologi kewangan (Fintech).
Sesi itu merupakan sebahagian daripada persidangan meja bulat maya anjuran bersama oleh Deposit Insurance Corporation of Japan dan IADI pada 24 dan 25 Februari 2022 yang dihadiri oleh para pemimpin kanan serta pakar-pakar daripada pihak berkuasa resolusi dan penginsurans deposit di serata dunia.