Tidak dinafikan semua aplikasi ini memudahkan lagi kehidupan anda – untuk membayar bil, berhibur malah boleh menghasilkan podcast! – yang membezakan adalah tanggungjawab kewangan yang berpunca daripada yuran langganan kerana tidak semua aplikasi percuma.
Kami mahu membantu anda menguruskan tanggungjawab kewangan berkaitan dengan
langganan anda. Ia bukan hanya terhad kepada aplikasi di telefon pintar atau pada alatan lain tetapi juga termasuk langganan gim, perkhidmatan penstriman, permainan dalam talian, perisian kewangan, portal berita digital dan beberapa instrumen media sosial untuk membuat hantaran di Instagram anda.
Ikuti langkah berikut dan mungkin anda akan dapat berjimat beberapa ratus ringgit setahun kerana menguruskan langganan dengan lebih efektif:
- Tetapkan penggera bagi semua langganan dan tarikh pembaharuannya
Setiap langganan berbeza cara bayarannya, ada yang bayar secara mingguan, bulanan dan tahunan. Agak leceh untuk anda ingat kesemuanya, jadi sebagai permulaan buat senarai semua langganan yang anda miliki dan tarikh akhir pembayarannya.
Tetapkan penggera di kalendar anda, sebaiknya seminggu sebelum tarikh pembaharuan supaya anda boleh menimbang kembali sama ada ingin meneruskan atau tidak langganan tersebut. Ini dapat mengelakkan anda daripada memperbaharui perkhidmatan yang anda tidak lagi atau jarang gunakan secara automatik. Biasanya, penyedia perkhidmatan akan meminta butiran terperinci kad debit atau kad kredit anda untuk pembaharuan langganan dan menghantar peringatan sebelum kad anda dikenakan bayaran. Jadi pastikan anda beringat tentang perkara ini.
- Sekiranya boleh, elakkan langganan tahunan
Kebanyakan perkhidmatan menawarkan pakej lebih murah bagi langganan tahunan berbanding bulanan. Sentiasa pilih langganan bulanan kerana lebih mudah untuk anda batalkan sekiranya tidak menggunakannya lagi, melainkan anda memerlukan perkhidmatan itu bagi tujuan bekerja atau sesuatu yang anda gunakan setiap hari.
Konsep memilih langganan tahunan adalah untuk “rancang dan tidak lupa” namun ia lebih sesuai digunakan bagi memudahkan simpanan secara debit langsung, berbanding pembayaran automatik langganan seperti Spotify Premium, Youtube Premium, Netflix, dan lain-lain.
Anda juga perlu berhati-hati dengan langganan “
freemium” (percuma semasa tempoh percubaan + bayaran premium dikenakan selepas tempoh percubaan). Konsep ini menarik kerana ia membolehkan anda mencuba dahulu aplikasi atau perisian tersebut untuk jangka masa pendek sebelum memutuskan untuk melanggannya. Jangan lupa tarikh tamat percubaan dan ingat untuk membatalkannya sebelum langganan anda disahkan.
- Berkongsi langganan lebih bermakna
Lebih bermakna apabila kita melakukan sesuatu bersama orang yang kita sayangi bukan? Terutamanya apabila anda dapat membahagikan bayaran bil perkhidmatan bulanan Zoom Premium dengan keluarga dan rakan-rakan anda. Ini juga dapat membantu anda terus mendisiplinkan diri kerana ada rakan-rakan yang boleh mengingatkan anda tentang bayaran langganan tersebut.
Berkongsi juga boleh memaksimumkan penggunaan langganan yang anda bayar. Sebagai contoh, di luar waktu bekerja anda mungkin tidak memerlukan akses perkhidmatan tersebut tetapi rakan anda yang bekerja sendiri mungkin memerlukannya. Perkongsian ini sesuai bagi perkhidmatan penstriman seperti Netflix dan Spotify. Kini, anda boleh bergilir-gilir untuk menonton rancangan kegemaran bersama dengan rakan-rakan anda.
- Bayar langganan anda menggunakan duit baki lebihan
Ini cabaran untuk anda: ambil balang atau tin kosong. Simpan duit baki lebihan anda – sama ada duit syiling atau wang kertas bernilai kecil dan hitung semuanya pada akhir bulan. Sekiranya bernasib baik, jumlah yang dikumpul mungkin cukup untuk membayar kos langganan. Dengan cara ini, anda berjaya memanfaatkan duit baki lebihan untuk kegunaan yang sewajarnya. Anda akan terkejut dengan jumlah terkumpul kerana cukup untuk membayar langganan, dan seterusnya membuatkan anda rasa kurang bersalah membayarnya.
- Batalkan langganan yang tidak digunakan dan hentikan langganan menerima e-mel promosi.
Perkara paling penting: batalkan langganan perkhidmatan yang anda tidak gunakan sejak beberapa bulan lepas. Jika anda tidak membuka aplikasi tersebut atau tidak menggunakan perkhidmatan yang dilanggan dengan kerap,kemungkinan besar anda boleh hidup tanpanya.
Membatalkan langganan yang tidak digunakan hanya langkah pertama. Langkah seterusnya adalah hentikan langganan yang diterima melalui e-mel promosi daripada penyedia aplikasi atau perkhidmatan kerana mereka akan berusaha menarik perhatian anda untuk kembali melanggan. Hanya pergi ke bahagian bawah e-mel yang mereka hantar dan klik “
unsubscribe” untuk mengelakkan anda daripada menerima e-mel “
we miss you” yang bakal mereka hantar. Jangan risau, anda boleh sentiasa mendaftar semula sekiranya anda berubah fikiran kelak.
Jadi itulah 5 tip yang anda boleh cuba untuk menjadi lebih bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan langganan dengan lebih efektif. Dengan hanya sedikit usaha anda mampu menguruskan perbelanjaan anda!