PIDM Beri Peringatan Berkenaan Penipuan

Kuala Lumpur, 14 Jun 2012: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak melayani mana-mana permintaan untuk memindahkan wang daripada akaun bank mereka atau untuk membuat pembayaran kepada  PIDM  bagi  tujuan  untuk  membayar  yuran  perlindungan  insurans  yang disediakan oleh PIDM.

“PIDM tidak pernah meminta atau mengutip bayaran daripada orang ramai, pendeposit atau pemilik polisi takaful dan sijil insurans bagi perlindungan insurans deposit atau perlindungan manfaat takaful dan insurans. Perlindungan insurans deposit dan perlindungan manfaat takaful dan insurans disediakan oleh undang-undang dan automatik. Tiada permohonan atau pembayaran diperlukan bagi perlindungan ini," kata Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

Beliau menegaskan bahawa PIDM tidak akan meminta apa-apa jenis bayaran daripada orang ramai, pendeposit atau pemilik polisi. "Kami ingin memastikan orang ramai mengetahui mengenai penipuan ini supaya mereka dapat melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan".

Sekiranya anda menerima permintaan bayaran sedemikian, sila hubungi segera pusat panggilan perkhidmatan pelanggan PIDM di 1-800-88-1266 (talian bebas tol).

PIDM merupakan sebuah agensi Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia untuk mentadbir sistem insurans deposit dan sistem perlindungan manfaat takaful dan insurans kebangsaan.

Di bawah sistem insurans deposit, PIDM melindungi pendeposit, sama ada individu atau entiti perniagaan daripada kehilangan wang deposit diinsuranskan yang disimpan di bank-bank ahli sekiranya berlaku kegagalan bank. Di bawah sistem perlindungan manfaat takaful dan insurans, PIDM melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insurans daripada kehilangan manfaat takaful dan insurans yang layak sekiranya berlaku kegagalan ahli penginsurans.

Untuk maklumat lanjut mengenai perlindungan insurans deposit dan perlindungan manfaat takaful dan insurans, sila hubungi pusat panggilan perkhidmatan pelanggan PIDM di 1-800-88-1266 (talian bebas tol) atau layari laman web PIDM di www.pidm.gov.my

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455; 012-343 0848; Emel: syedidid@pidm.gov.my)

Juli Murshidah, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7465; Emel: juli@pidm.gov.my)


MENGENAI PIDM

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia.

Bagi maklumat lanjut:

  • Hubungi 1-800-88-1266, 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin – Jumaat (tidak termasuk cuti umum)
  • Emel: info@pidm.gov.my
  • Layari:  www.pidm.gov.my
  •  
Share to