PIDM terbit Rancangan Korporat 2017 - 2019 - Memberi tumpuan kepada pembentukan rejim resolusi efektif bagi sistem kewangan yang kukuh

Kuala Lumpur, 25 Januari 2017: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini menerbitkan  ‘Ringkasan Rancangan Korporat 2017 – 2019’ yang menggariskan hala tuju dan bidang tumpuan bagi tempoh tiga tahun akan datang bagi memastikan kemampanan dan kejayaannya untuk tempoh jangka panjang.

Sebagai sebahagian penting dalam sistem jaringan keselamatan kewangan Malaysia, PIDM diberi mandat untuk melindungi kepentingan pendeposit dan pemilik polisi insurans dan takaful terhadap kegagalan mana-mana institusi ahli PIDM.

“PIDM terus mengkaji semula dan memperkemaskan kesediaan kami agar dapat memenuhi visi dan mandat Perbadanan dengan efektif dalam menggalakkan keyakinan awam, melindungi kepentingan pengguna kewangan dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Pengurus Besar  Eksekutif  PIDM.

Bagi tempoh perancangan 2017 – 2019, Perbadanan akan mengarahkan usaha terhadap memastikan kemampanan berterusan di samping menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran operasi.  Salah satu daripada keutamaan strategik utama PIDM bagi tempoh tiga tahun akan datang adalah pembentukan rejim resolusi yang menyeluruh dan efektif di Malaysia, yang akan menyokong kekukuhan sistem kewangan dan pertumbuhan ekonomi yang mengiringinya.
 
“Kami akan membentuk  rangka kerja yang menyeluruh untuk memandu dan memudahkan pembangunan pelan resolusi dan penilaian kebolehselesaian institusi ahli. Rejim ini akan membolehkan institusi ahli diselesaikan dengan cara yang teratur, tanpa gangguan sistemik, dengan cara yang meminimumkan kerugian kepada sistem kewangan secara keseluruhan,” katanya. 

Perbadanan akan terus memberi tumpuan  kepada pelaksanaan strategi Pengurusan Modal Insan Strategik bagi mengekalkan kakitangan berbakat,  termasuk memupuk budaya pembelajaran dalam organisasi. Pertumbuhan dan pembangunan berterusan kakitangan adalah penting bagi memastikan PIDM bersedia  untuk menghadapi cabaran pada masa depan.
 
PIDM juga akan terus bekerjasama dengan pemegang kepentingannya kerana keyakinan awam adalah kunci kepada kejayaan Perbadanan dalam melaksanakan mandatnya dan untuk diiktiraf sebagai pihak berkuasa perlindungan konsumer kewangan dan resolusi yang berwibawa.

Rancangan kewangan bagi tahun 2017 akan menyokong pelaksanaan inisiatif yang dirancang PIDM. Perbadanan menganggarkan pendapatan sebanyak RM585 juta daripada premium dan levi yang diterima daripada institusi ahli, dan perbelanjaan operasi sebanyak RM120 juta, dengan lebihan bersih diunjurkan sebanyak RM465 juta bagi tahun 2017.

Menjelang akhir tahun 2017, Kumpulan Dana Insurans Deposit dijangka berjumlah RM2.01 bilion manakala Kumpulan Dana Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans  adalah sebanyak RM1.54 bilion.  Kedua-dua kumpulan dana ini merupakan rizab terkumpul untuk menampung kerugian yang mungkin timbul bagi perlindungan yang disediakan masing-masing kepada pendeposit dan pemilik polisi.

Ringkasan Rancangan Korporat 2017 - 2019  boleh  didapati  di  laman  web  PIDM (www.pidm.gov.my).  

 

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Syed Mohammed Idid, Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7455; 012-3430848; Emel: syedidid@pidm.gov.my)

Mimi Rashid, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7570; Emel: mimifaizura@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.

Bagi maklumat lanjut:

 

Share to