Program biasiswa PIDM beri manfaat kepada lebih 100 rakyat Malaysia yang layak sejak 2010

Kuala Lumpur, 6 September 2017: Program Biasiswa Sarjana Muda Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah memberi peluang kepada 101 individu untuk mempunyai masa hadapan yang cerah dengan melanjutkan pengajian mereka sejak ia dimulakan pada 2010. Tahun ini, PIDM menganugerahkan 21 biasiswa baharu kepada golongan muda Malaysia yang layak.

“Kriteria utama bagi Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, selain pencapaian akademik dan berpotensi,  penerima biasiswa juga perlu berasal daripada latar belakang keluarga yang mempunyai masalah kewangan. Program ini bertujuan memberikan peluang kepada mereka untuk menumpukan pengajian mereka di Malaysia, tanpa perlu bimbang mengenai masalah kewangan. Program ini juga menyediakan mentor daripada pengurusan kanan PIDM, bagi membantu, membimbing dan memberi nasihat kepada penerima biasiswa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah. Kini terdapat juga kumpulan graduan alumni dalam kalangan penerima biasiswa yang juga membantu memberi sokongan kepada penerima biasiswa PIDM baharu ini.

Penerima-penerima biasiswa ini menzahirkan penghargaan ke atas kemampuan bagi melanjutkan pengajian, dan juga peluang untuk menumpukan kepada pelajaran, mencapai aspirasi mereka dan seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat.   

“Impian saya adalah memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk terus berusaha mendapatkan pendidikan dan kekal bersekolah tidak kira apa juga latar belakang mereka. Biasiswa yang diterima ini akan membantu saya melanjutkan pengajian saya dan meneruskan cita-cita saya untuk bekerja dalam industri kewangan. Saya berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat selepas saya menamatkan pengajian,” kata Niveetha Subramaniam, 19, penuntut pentadbiran perniagaan i Universiti Pendidikan Sultan Idris.
“Membesar dalam keluarga yang miskin bukan halangan bagi saya untuk berjaya dalam pelajaran. Situasi kewangan saya dan kepercayaan bahawa pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih baik adalah apa yang mendorong saya untuk terus berusaha gigih. Terima kasih kepada peluang yang diberikan oleh PIDM, saya kini boleh menumpukan sepenuhnya melakukan yang terbaik untuk menjadi seorang juruaudit suatu hari nanti,” kata Wong Yong Sheng, 19. Beliau akan mendaftar sebagai pelajar perakaunan di Universiti Malaya pada bulan September.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Siti Nuraini Sofiya Samad berterima kasih kepada arwah bapanya atas kejayaan beliau setakat ini. Pelajar berasal dari Jitra, Kedah, itu berkongsi bahawa meskipun terlantar sakit di katil selama bertahun-tahun sebelum meninggal dunia, arwah bapanya memastikan pendidikan adalah satu keutamaan bagi kesemua anaknya.  

“Minat saya terhadap matematik ditambah dengan galakan yang diberikan oleh arwah ayah saya telah mendorong saya meneruskan cita-cita saya untuk menjadi seorang pakar aktuari. Biasiswa ini akan memberikan sokongan yang saya perlukan untuk memperoleh ijazah dalam jurusan sains aktuari di Universiti Teknologi MARA,” katanya.

Penerima Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM dipilih berdasarkan kepada pencapaian akademik dan kokurikulum, kemahiran komunikasi, kematangan dan potensi kualiti kepimpinan, serta akses kepada sokongan kewangan. Biasiswa PIDM tidak terikat dan menyediakan pembiayaan bagi bayaran tuisyen dan perbelanjaan sara hidup serta buku dan peralatan pembelajaran.  Penerima biasiswa ini boleh meneruskan pembelajaran dalam pelbagai jurusan pengajian termasuk Perakaunan, Sains Aktuari, Pengurusan Perniagaan dan Undang-undang.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Sarina Ariffin, Pemangku Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; 012-3475014; Emel: sarina@pidm.gov.my)

Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2265 4622; Emel: masami@pidm.gov.my)

MENGENAI PIDM

PIDM mentadbir Sistem Insurans Deposit dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans berkanun di Malaysia. Menerusi sistem-sistem ini, pendeposit serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans kini menikmati perlindungan yang eksplisit dan tertakluk pada undang-undang bagi deposit bank serta manfaat takaful dan insurans mereka yang layak.

Bagi maklumat lanjut:

 

Share to