Sokongan merangkumi penyediaan modul literasi kewangan, peralatan braille dan makanan di pusat vaksinasi
Kuala Lumpur, 15 Jun 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini menaja bakul makanan untuk keluarga orang buta, serta makanan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertugas di pusat vaksinasi bagi orang buta. Ini merupakan sebahagian daripada kerjasama erat antara PIDM dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk menyokong kesejahteraan orang kurang upaya penglihatan.
Sumbangan itu, yang dikumpul menerusi kempen yang didorong oleh kakitangan PIDM, akan memanfaatkan lebih dari 170 keluarga di Semenanjung Malaysia, Sabah and Sarawak, serta menyediakan pek makanan bagi 2,000 penerima vaksin dan 50 petugas perubatan dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks MAB di Brickfields khusus bagi orang buta dari 4 Jun hingga 14 Julai 2021.
"Di PIDM, kami meneruskan usaha kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menyokong MAB dan komuniti orang buta. Dalam tempoh mencabar ini, kami bertekad untuk membantu dan memenuhi keperluan komuniti yang kurang mendapat perhatian seperti komuniti orang buta,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Menurut George Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, sumber pendapatan lebih daripada 3,500 orang buta terjejas berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila sektor-sektor tertentu tidak dapat beroperasi. Terdapat lebih daripada 50,000 orang buta yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ramai orang buta yang bergantung kepada gaji harian yang diterima daripada pekerjaan mereka di pusat urut dan refleksologi, ‘busking’, dan menjual barang dari premis ke premis atau di tempat awam. Setiap kali PKP diumumkan, semua aktiviti ini terhenti. Kami bersyukur PIDM tampil ke hadapan untuk membantu dalam tempoh sukar ini,” kata Thomas.
“Pada masa akan datang, kami berharap dapat menggiatkan lagi usaha membantu komuniti orang buta dengan memperkasakan mereka melalui penyampaian pendidikan kewanganagar dapat menambah baik daya tahan dan kesihatan kewangan mereka. Hubungan baik PIDM dengan MAB adalah penting bagi memastikan seramai mungkin orang buta dan individu berpenglihatan terhad dapat dibantu,” kata Rafiz.
PIDM dan MAB memulakan kerjasama mereka pada 2020, dengan
sumbangan 1,000 kit penjagaan diri dari PIDM yang telah diagihkan kepada orang buta. Kit penjagaan itu terdiri daripada pelitup muka dan pensanitasi tangan untuk membantu mereka melindungi diri daripada jangkitan virus COVID-19.
Dalam memastikan sokongan yang berterusan, PIDM ketika ini sedang dalam usaha untuk melancarkan tujuh modul kewangan peribadi asas untuk meningkatkan daya tahan kewangan komuniti buta bagi tempoh jangka panjang. Modul itu akan disediakan sebagai sebahagian daripada latihan Sijil Kemahiran Malaysia di MAB dalam format braille dan buku audio.
PIDM juga menaja 10 unit mesin penulis braille mekanikal Perkins Brailler bagi pelajar buta yang mengikuti kelas literasi dan komunikasi. Mesin penulis braille adalah alat menaip yang digunakan oleh orang buta untuk menulis braille.
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.