Kuala Lumpur, 21 Januari 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengumumkan beberapa penambahbaikan kepada Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang berkuatkuasa pada Januari 2021.
Dengan penambahbaikan baharu itu, PIDM menggugurkan hampir kesemua pengecualian kepada skop perlindungan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans. PIDM kini melindungi semua manfaat takaful dan insurans yang ketika ini ditawarkan dalam pasaran. Walau bagaimanapun, manfaat dalam nilai bukan Ringgit Malaysia, manfaat polisi yang dikeluarkan di luar Malaysia serta manfaat kematangan, serahan dan pendapatan daripada bahagian unit polisi berkaitan pelaburan masih tidak dilindungi PIDM. Perlindungan yang disediakan oleh PIDM adalah sehingga had-had tertentu, sekiranya berlaku kegagalan (muflis) ahli penginsurans.
Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, berkata penambahbaikan itu memastikan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans kekal terkini dan relevan dengan penawaran produk semasa. Penambahbaikan ini membolehkan lebih banyak lagi manfaat layak dilindungi dan seterusnya memastikan perlindungan yang lebih baik kepada konsumer.
“Kami juga mahu memudahkan konsumer memahami skop dan had-had perlindungan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang mungkin sebelum ini agak kompleks dan sukar difahami,” kata Rafiz.
“Memandangkan perlindungan takaful dan insurans dapat meringankan beban akibat keadaan yang tidak dijangka, seperti apa yang sedang berlaku akibat pandemik COVID-19, kami berharap perlindungan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans yang lebih meluas akan memberi ketenangan fikiran kepada konsumer. Kami juga berharap ini akan menggalakkan lebih ramai orang melanggan sijil takaful dan polisi insurans.”
Syarat kelayakan perlindungan termasuk produk takaful dan insurans perlu dikeluarkan oleh ahli penginsurans PIDM di Malaysia dan dalam nilai Ringgit Malaysia. Bagi mendapatkan butiran terperinci berkaitan dengan manfaat yang dilindungi, manfaat tidak dilindungi, had-had perlindungan serta senarai ahli penginsurans PIDM, orang ramai boleh melayari laman web PIDM (
www.pidm.gov.my).
Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans mula berkuatkuasa pada 31 Disember 2010, untuk menyediakan perlindungan kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans di samping Sistem Insurans Deposit yang ditadbirkan oleh PIDM sejak penubuhannya pada 2005.
Ahli penginsurans PIDM adalah semua pengendali takaful berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, selain pengendali takaful yang dilesenkan untuk menjalankan perniagaan takaful semula semata-mata dan pengendali takaful antarabangsa, serta syarikat insurans di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, selain syarikat insurans yang dilesenkan untuk menjalankan perniagaan insurans semula semata-mata dan Danajamin Nasional Berhad.
Bagi maklumat lanjut mengenai Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans, sila layari
www.pidm.gov.my.
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini , sila hubungi:
Sarina Ariffin, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 03-2173 7457; E-mel: sarina@pidm.gov.my)
Masami Mustaza, Pengurus, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 016-3643406; E-mel: masami@pidm.gov.my) |
TENTANG PIDM
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan, sehingga had yang ditetapkan, terhadap kerugian deposit dan manfaat insurans atau takaful sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia memiliki kaedah-kaedah di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana tersebut yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut: