PIDM lancar Laporan Tahunan 2020

Tahap kesedaran awam tahunan PIDM semakin meningkat

Kuala Lumpur, 8 Jun 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melaporkan dalam Laporan Tahunan 2020 tahap kesedaran awam tahunan mengenai PIDM berada pada 72 peratus, mengatasi sasaran bagi tahun 2020. Laporan Tahunan itu yang bertemakan “Melangkah ke Hadapan: Memacu Kesediaan PIDM” dilancarkan hari ini.
 
“Kesedaran tentang PIDM adalah penting agar konsumer kewangan mengetahui apa yang dilindungi dan apa yang tidak dilindungi oleh PIDM sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli, sebelum mereka menyimpan wang hasil keringat mereka di bank atau membeli manfaat insurans atau takaful. Ia juga melindungi mereka daripada penipuan. Mustahak bagi orang ramai untuk mengetahui bahawa perlindungan oleh PIDM adalah secara automatik. Konsumer kewangan tidak perlu membayar apa-apa, bukan seperti apa yang didakwa oleh ‘scammer’ yang cuba menipu orang ramai dengan meminta bayaran wang untuk mendapatkan perlindungan PIDM bagi produk kewangan,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
 
“Kami akan terus berusaha memupuk kepercayaan dan keyakinan terhadap PIDM, selaras dengan peningkatan pengetahuan orang ramai. Kepercayaan dan keyakinan perlu agar pendeposit atau pemilik manfaat polisi insurans dan sijil takaful tidak panik sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan, kerana PIDM akan melindungi mereka dalam situasi tersebut.”  
 
Pada tahun 2020, PIDM terus meningkatkan visibilitinya di ruang media sosial Facebook, dan membentuk perkongsian strategik bersama United Nations Capital Development Fund (UNCDF) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk menambah baik daya ketahanan kewangan bagi golongan masyarakat tertentu.
 
PIDM juga berjaya melaksanakan hampir semua  bidang tumpuan utama yang berkaitan dengan kesediaan meskipun berdepan cabaran dalam persekitaran operasi.
 
“PIDM akan terus memantau persekitaran dan berusaha untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi melaksanakan mandatnya sekiranya perlu berbuat demikian. PIDM juga akan terus memantapkan mesej utama mengenai sistem perlindungannya untuk membantu mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan,” kata Rafiz.
 
PIDM mempunyai 92 institusi ahli (42 bank ahli dan 50 ahli penginsurans). Berdasarkan penilaiannya pada tahun 2020, skop perlindungan PIDM kekal mencukupi dan relevan:
 
  • PIDM melindungi sepenuhnya 96% daripada pendeposit di bawah Sistem Insurans Deposit.
  • PIDM juga melindungi sepenuhnya 99% daripada pemilik polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga, dan 96% daripada pemilik polisi insurans am dan sijil takaful di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans.
 
Langkah-langkah dan pencapaian utama PIDM bagi tahun 2020 termasuklah:
 
  • Langkah-langkah pemulihan operasi: PIDM meringankan beban kawal selia ke atas institusi ahli dengan melanjutkan tarikh akhir penyerahan laporan pengawalseliaan dan bayaran premium dan levi tahunan. Ia melengkapkan langkah-langkah lebih meluas yang dilaksanakan oleh pelbagai badan kawal selia bagi membendung impak daripada pandemik. 
 
  • Kesediaan krisis: Seperti tahun-tahun sebelum ini, simulasi secara tetap telah dijalankan. PIDM telah melaksanakan dua latihan simulasi bagi menguji pengurusan krisis dan kesediaan komunikasinya. Kajian semula resolusi bagi pengendali takaful dijalankan, serta latihan simulasi secara maya selama dua hari yang dimudah cara oleh Toronto Centre (Global Leadership in Financial Supervision).
 
  • Pilihan pembayaran balik: PIDM memulakan pembangunan infrastruktur pembayaran elektronik bagi menambah pilihan kepada pendeposit sekiranya berlaku pembayaran balik deposit. Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan dan memberi kemudahan kepada pendeposit sekiranya PIDM perlu membuat pembayaran dalam situasi pembubaran sesebuah institusi ahli.
 
  • Kesedaran: PIDM mencapai 72% tahap kesedaran awam pada tahun 2020, mengatasi sasaran 65%. Melangkah ke hadapan, kempen kesedaran awam bagi tahun 2021 akan bertumpu kepada membina kepercayaan dan keyakinan serta memberi bimbingan mengenai pengurusan kewangan yang baik menerusi kempen ketahanan kewangan yang dirancang oleh PIDM.
 
  • Literasi kewangan bagi golongan yang kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan: PIDM melaksanakan usaha literasi kewangan umum bersama-sama dengan rakan strategiknya. Kerjasama PIDM dengan UNCDF dan MAB menandakan permulaan usaha yang bertujuan untuk menyediakan penyampaian pendidikan kewangan yang efektif bagi golongan masyarakat tertentu dan akan diteruskan pada tahun 2021.
 
Video sorotan Laporan Tahunan 2020 PIDM boleh didapati di laman web PIDM.

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam​,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Share to