184 individu telah menerima biasiswa sejak 11 tahun yang lalu
Kuala Lumpur, 12 Oktober 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menganugerahkan biasiswa kepada 20 siswazah daripada pelbagai jurusan di bawah Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM. PIDM telah menawarkan sebanyak 184 biasiswa sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2010.
Menurut Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, ia akan terus menyokong keperluan pendidikan tinggi anak-anak muda Malaysia yang memerlukan bantuan kewangan.
“Seperti orang lain, pandemik ini telah menjejaskan kehidupan pelajar terutama sekali daripada keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka terpaksa memilih di antara membantu menyara keluarga ketika waktu yang mencabar ini atau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. PIDM berharap bantuan yang kami hulurkan ini akan memberikan peluang yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah kepada semua penerima biasiswa,” kata Rafiz.
PIDM telah menerima lebih daripada 900 permohonan untuk program tahun ini.
Satu majlis penganugerahan biasiswa yang melibatkan penerima biasiswa tahun ini dan tahun lepas serta penerima biasiswa yang telah menamatkan pengajian telah diadakan secara maya pada 9 Oktober 2021. Majlis ini turut dihadiri oleh pengurusan kanan PIDM dan ibu bapa penerima biasiswa.
Precilla Mojinol dari Tuaran, Sabah, mengatakan beliau tekad untuk berjaya dalam pelajarannya supaya beliau boleh mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan keluarganya di masa hadapan. Beliau juga menjadikan ayahnya sebagai suri teladan dan mengagumi kesungguhannya dalam memenuhi keperluan keluarga mereka walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Saya amat bersyukur menerima biasiswa ini. Pendapatan ayah saya tidak menentu dan keluarga saya tidak mampu untuk membiaya perbelanjaan pengajian saya,” kata Precilla yang bakal melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
See Chun Kit, pelajar tahun kedua Sarjana Muda Statistik Industri di UUM yang bercita-cita untuk menjadi usahawan penganalis data berkata beliau terkejut namun berasa lega menerima biasiswa daripada PIDM.
“Pekerjaan dan pendapatan ibu bapa saya sangat terjejas akibat pandemik ini. Kami bernasib baik kerana abang saya banyak membantu dalam kelangsungan hidup kami sekeluarga dalam tempoh yang sukar ini. Tawaran biasiswa ini datang tepat pada masanya dan saya kini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu berasa risau tentang kewangan,” kata See.
Muhammad Atiq Mu’Min Bin Kamaluddin dari Sungai Petani, Kedah juga berasa lega menerima biasiswa ini kerana ia dapat meringankan beban ibunya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.
“Saya juga merancang untuk memanfaatkan program ini sepenuhnya terutama sekali peluang untuk menjalani latihan praktikal di PIDM dan juga bimbingan yang disediakan untuk pemegang biasiswa melalui program mentor,” kata Atiq yang bakal melanjutkan pelajaran dalam program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya.
Setiap penerima biasiswa akan menerima bantuan kewangan tanpa bon yang merangkumi yuran pengajian, kos sara hidup dan bahan-bahan berkaitan pengajian. Mereka juga mempunyai akses kepada sokongan dan bimbingan daripada mentor yang terdiri daripada kakitangan PIDM dan alumni penerima biasiswa, serta peluang untuk menjalani latihan praktikal di PIDM.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, sila layari laman web PIDM. Video mengenai penerima biasiswa PIDM, boleh didapati di sini.
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam,
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.