PIDM melindungi deposit bank anda dan akan membayar balik deposit yang layak dengan segera sekiranya berlaku kegagalan bank ahli PIDM - FOTO Hiasan.
MUTAKHIR ini, skim pelaburan dalam talian mula dilihat menjadi pilihan utama sesetengah individu untuk merebut peluang menambah baik status kewangan mereka.
Terdapat pelbagai tawaran menarik yang dikongsikan beberapa syarikat pelaburan di media sosial, jadi tidak hairanlah jika ramai pelabur baharu sanggup bergadai wang untuk mencuba nasib dalam sesuatu pelaburan.
Dari sudut positif, setiap pelaburan yang dilaksanakan mengikut langkah dan prosedur yang betul mungkin berpotensi mendatangkan pulangan yang memuaskan.
Namun, perlu diingat bahawa dunia pelaburan tidak seindah yang disangka, malah pelabur tidak boleh mengharapkan khabar gembira dan keuntungan pada setiap masa.
Justeru, sebelum melangkah masuk ke dunia pelaburan, pastikan anda benar-benar lengkap berilmu dan bersedia berdepan sebarang risiko di kemudian hari.
Fahami risiko pelaburan
Bagi mereka yang sedang merancang untuk melabur di mana-mana syarikat pelaburan, jangan sesekali terlintas di fikiran untuk menggunakan wang simpanan terutama simpanan untuk keperluan kecemasan.
Langkah ini bagi mengelakkan sebarang risiko kerugian yang boleh terjadi kepada pelabur kerana setiap pelaburan pasti ada risikonya dan jika ia tidak dirancang dengan baik akan menyebabkan sesetengah mereka tinggal sehelai sepinggang sehingga diisytihar muflis.
Ingat, walaupun sesetengah syarikat pelaburan memberi jaminan bahawa produk pelaburan yang ditawarkan mempunyai kadar risiko rendah, pastikan anda kaji dan fahami dahulu risiko-risiko sesuatu produk supaya anda membuat keputusan yang bijak.
Pastikan simpanan mencukupi
Situasi yang tidak diduga boleh berlaku pada bila-bila masa, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap individu untuk memastikan wang simpanan mereka sentiasa cukup untuk menampung keperluan diri dan keluarga.
Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan, pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan wang simpanan mengikut purata perbelanjaan dan komitmen bulanan.
Simpanan ini penting sebagai penyelamat untuk menampung perbelanjaan harian sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kelak.
Anda juga boleh mencuba
Kalkulator SPK secara percuma untuk mengira berapa jumlah simpanan kecemasan yang anda sepatutnya ada berdasarkan kemampuan dan komitmen sedia ada.
Selidik dan ambil tahu
Bagi mereka yang benar-benar yakin bahawa jumlah wang simpanan mereka kukuh serta pelaburan yang bakal disertai tidak akan mengganggu aliran tunai sedia ada, jangan terus terpedaya sebaliknya selidikilah dahulu setiap risiko yang ada.
Sebagai bakal pelabur, anda berhak untuk menyemak latar belakang syarikat, meneliti rekod dan prestasi pelaburan mereka termasuk mendapatkan perkongsian pengalaman daripada pelabur yang lain.
Perkara ini perlu dititikberatkan bagi mengelakkan anda diperdaya syarikat pelaburan yang tidak sah atau terbabit dengan jenayah penipuan skim pelaburan.
Jika anda mahu jaminan keselamatan tambahan, mengenai pelaburan itu sah dan dibenarkan boleh rujuk kepada pihak berkuasa kawal selia seperti
Bank Negara Malaysia atau
Suruhanjaya Sekuriti.
Semua produk pelaburan tidak dilindungi PIDM
Walaupun dijanjikan pulangan yang lumayan, masyarakat perlu sedar bahawa semua produk berbentuk pelaburan seperti amanah saham, forex, emas serta matawang kripto tidak dilindungi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan helah sesetengah syarikat pelaburan yang menyalahgunakan logo PIDM sebagai umpan seolah-olah memberi tanggapan salah bahawa produk pelaburan mereka 'dilindungi' PIDM.
PIDM melindungi deposit yang disimpan di bank ahli PIDM sahaja. Bank ahli PIDM terdiri daripada bank-bank komersial dan bank-bank islam di Malaysia.
Menariknya, deposit yang layak dilindungi PIDM adalah sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli PIDM.
Perlindungan ini juga diberikan secara automatik dan tiada bayaran atau sebarang permohonan diperlukan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perlindungan PIDM layari
www.pidm.gov.my
Jadilah individu bijak, simpan dulu baru labur dan jangan terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan kewangan.
Dapatkan lebih banyak tips kewangan di
www.pidm.gov.my/spk #SediaPayungKewangan.