Bagaimana Anda Boleh Mulakan Tabung Kecemasan?

Sejak wabak Covid-19 melanda, kehidupan kita tidak lagi seperti dulu. Biar dari segi gaya hidup atau cara bersosial, banyak aspek dalam kehidupan kita telah berubah.
 
Bilangan rakyat Malaysia yang menganggur telah meningkat dari lebih kurang 511,000 orang pada tahun 2019 kepada lebih dari 700,000 orang pada Disember 2020.  Pengangguran dan kehilangan mata pencarian telah memberi tekanan kewangan kepada mereka yang mungkin tidak bersedia menghadapinya.
 
Oleh itu, untuk mengelakkan kita dari terus terjerumus dengan masalah kewangan, tabung kecemasan sangat penting sebagai persediaan untuk menghadapi sesuatu yang tidak dijangka.
 
 
 
Apa itu tabung kecemasan? Kenapa ia penting?
 
Pandemik ini juga menunjukkan terlalu ramai di antara kita yang tidak bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan. Seperti yang dilaporkan dalam Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 - 2023 yang dirangka oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) , ‘52% rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan RM1,000 sebagai dana kecemasan’. Menabung untuk kecemasan ketika waktu yang stabil dapat mengurangkan beban apabila anda memerlukannya.
 
Ini juga dapat dilihat daripada kadar pengeluaran i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar, program pengeluaran wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meringankan beban kewangan yang menimpa rakyat. Sebagai contoh, sebanyak 6.49 juta permohonan i-Sinar berjumlah RM50.93 bilion telah pun diluluskan oleh KWSP sehingga Jun 2021. Ini bermaksud ramai yang terkesan dari segi kewangan dan terpaksa mengeluarkan wang simpanan KWSP demi kelangsungan hidup walaupun sedar tentang kesannya ke atas kemampuan bersara mereka kelak.
 
Pentingnya tabung kecemasan, kerana ia mungkin dapat mengelakkan kita daripada menggunakan  wang tabung simpanan yang lain dan tidak terdesak meminjam daripada ahli keluarga, rakan-rakan, pajak gadai, peminjam wang tidak berlesen dan sebagainya.
 
4 langkah mudah untuk memulakan tabung kecemasan
 
Mari kita lihat bagaimana kita boleh memulakan tabung kecemasan dengan 5 langkah mudah.
 
1. Rekod perbelanjaan dan pendapatan bulanan anda
 
Langkah pertama yang harus anda lakukan untuk memulakan tabung kecemasan adalah dengan merekodkan perbelanjaan dan pendapatan bulanan. Ini untuk memastikan anda tahu jumlah komitmen dan jumlah yang boleh disimpan setiap bulan.
 
 Article-9-1-2.jpg

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia (JSM), gaji purata rakyat Malaysia pada tahun 2020 adalah RM2,062. Lihat berapa jumlah yang boleh disimpan dalam sebulan berdasarkan contoh gaji purata ini:
 
Pendapatan bulanan kasarRM2,000
Perbelanjaan bulanan (kos tempat tinggal, makanan, utiliti, pengangkutan awam, penjagaan diri, dll.)RM1,200
Komitmen bulanan yang lain (ibu bapa, bayaran pinjaman ptptn, insurans, dll)RM400
Perbelanjaan sosial /hiburanRM150
Jumlah yang boleh disimpan (tabung kecemasan, simpanan untuk matlamat yang lain)RM250 
* Perbelanjaan bulanan mengikut anggaran Belanjawanku untuk seorang yang bujang dan tinggal di Lembah Klang
 
Dengan rekod perbelanjaan, anda boleh memastikan tidak berbelanja melebihi had peruntukan kerana setiap ringgit itu bernilai kepada anda.
 
2. Rancang kaedah simpanan yang sesuai
 
Dalam memulakan tabung kecemasan, antara aspek yang paling penting adalah disiplin. Disiplin diperlukan untuk memastikan anda terus menyimpan untuk simpanan kecemasan dan berpegang pada matlamat simpanan yang anda sasarkan.
 
Untuk memudahkan anda kekal berdisiplin, pilih cara simpanan yang sesuai mengikut kemampuan anda.
 
Antara contoh cara simpanan yang boleh dipraktikkan adalah konsep bajet Chief BerUang 10-10-10-70. Anda perlu membahagikan jumlah pendapatan bulanan anda kepada 4 pecahan, iaitu 10% untuk simpanan, 10% untuk kecemasan, 10% untuk insurans dan 70% untuk perbelanjaan.
 
Anda juga boleh jadikan aktiviti menabung lebih seronok dengan menyahut cabaran menabung yang popular di atas talian seperti Tabung 52-Minggu atau menyimpan duit secara fizikal menggunakan sampul. Anda juga boleh mencabar diri sendiri untuk mengurangkan perbelanjaan seperti tidak berbelanja di hujung minggu atau lebih hebat lagi, cabaran tidak berbelanja seminggu. Cabaran sifar belanja seperti ini mungkin lebih mudah ketika ini kerana kita perlu duduk di rumah untuk mengawal penyebaran wabak Covid-19.
 
Jadi, pilihlah cara simpanan yang sesuai dengan kemampuan anda.
 
3. Rancang matlamat simpanan tabung kecemasan anda
 
Berapa sebenarnya jumlah yang harus anda ada dalam tabung kecemasan?
 
Anda digalakkan mempunyai 6 bulan jumlah perbelanjaan bulanan sebagai tabung kecemasan. Sasarkan jumlah dan tetapkan tempoh yang diperlukan untuk mencapai matlamat tabung kecemasan anda. Ambil contoh di atas dan lihat kira-kira di bawah:
Jumlah perbelanjaan bulananRM1,750
Jumlah yang diperlukan untuk tabung kecemasanRM1,750 x 6 = RM10,500
Jumlah disimpan bulananRM250
Jangka masa diperlukanRM10,500/250 = 42 bulan
 
Melalui contoh ini menunjukkan anda memerlukan hampir 4 tahun untuk mencapai jumlah matlamat yang telah ditetapkan. Oleh itu, mulakan simpanan anda seawal dan sebanyak mungkin.
 
4. Pilih  platform yang sesuai untuk menyimpan
 
Untuk tabung kecemasan, anda digalakkan untuk menyimpan di tempat yang sesuai.  Antara platform yang boleh anda gunakan adalah seperti:
 
i) Akaun simpanan bank. Walaupun akaun simpanan bank menawarkan kadar keuntungan/faedah yang rendah namun akaun simpanan bank membenarkan anda mengeluarkan wang tabung kecemasan dengan pantas dan mudah.
 
ii) Akaun deposit tetap. Akaun ini menawarkan kadar keuntungan/faedah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan. Setiap bank memerlukan jumlah minimum ketika anda membuka akaun dan hanya dibenarkan mengeluarkan wang selepas satu tempoh masa yang telah ditetapkan untuk mendapat keuntungan/faedah sepenuhnya.
 
iii) Akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). ASNB menawarkan dividen yang kompetitif  untuk simpanan dan membantu meningkatkan wang simpanan anda . Akaun ini membenarkan anda mengeluarkan wang, tetapi mengikut jumlah dan had yang dibenarkan untuk transaksi dalam talian.
 
 
Tabung kecemasan memastikan kesejahteraan kewangan anda
 
Mungkin jumlah simpanan tabung kecemasan tidak mencukupi untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang,  tetapi dengan memulakan tabung kecemasan sedikit sebanyak dapat membantu anda mencapai kestabilan kewangan
 
Seperti yang telah dikatakan tadi, penting untuk anda memulakan tabung kecemasan seawal mungkin kerana ia mengambil masa yang agak panjang untuk mencapai jumlah sasaran  simpanan kecemasan anda. Jangan tangguh dan mulakan tabung kecemasan anda sekarang. Simpan mengikut kemampuan anda dan terus berdisiplin dalam menyimpan. #SediaPayungKewangan
Share to