Menurut sumber
Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, sebanyak 26% golongan bekerja di Malaysia terdiri daripada pekerja bebas. Situasi pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang memberi kesan serius terhadap ekonomi global dan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan tetap. Keadaan ini secara tidak langsung telah meningkatkan peluang pekerja bebas atau
gig worker dalam kalangan individu yang terkesan.
Jika anda salah seorang pekerja tetap dan ingin menceburi bidang pekerjaan bebas ini, anda harus membuat beberapa persediaan yang teliti supaya pengurusan kewangan dan tugasan anda kekal stabil.
Bijak dalam pengurusan projek dan tugas
Bekerja secara bebas sememangnya menjadikan anda lebih fleksibel dalam mengatur waktu bekerja, namun ia memerlukan disiplin diri yang tinggi agar setiap tugasan dapat diselesaikan dengan lebih baik.
- Jadualkan projek anda. Jika anda mempunyai jadual projek, ini akan membantu anda dan klien dalam memastikan kedua-dua pihak kekal maklum mengenai garis masa projek. Jadual kerja juga dapat memberikan anda gambaran secara menyeluruh, supaya anda boleh merancang dengan lebih bijak.
- Selesaikan projek mengikut keutamaan. Anda boleh menyenaraikan semua tugasan anda dengan mengutamakan tarikh akhir tugasan. Manfaatkan aplikasi atau platform yang sedia ada seperti Asana, Slack, atau Trello untuk menguruskan tugasan atau projek anda.
- Rancang kerja dan tugasan anda. Sebelum anda bersetuju untuk mengambil tugasan tersebut, pertimbangkan dahulu tugasan yang sedia ada. Elakkannya jika anda tidak mempunyai masa untuk menyiapkan tugasan, agar tidak dibebani masalah yang boleh menjejaskan reputasi dan profil anda sebagai seorang pekerja bebas.
Ingat, dalam menyiapkan tugasan, tanggungjawab anda adalah untuk meringankan tugasan klien dalam menyempurnakan tugasan utama mereka dan bukannya menambahkan lagi kerja mereka.
Memang benar, sebagai seorang pekerja bebas anda memerlukan lebih daripada satu tugasan dalam satu masa, tetapi apa yang lebih penting adalah keupayaan anda dalam menangani tugasan dan klien yang berbeza secara serentak, supaya ia tidak membebani diri anda kelak.
Bina rangkaian pekerjaan
Bagi seseorang pekerja bebas, terdapat beberapa cabaran perlu dilalui antaranya ialah mendapatkan tugasan tersebut, mempunyai tugasan dan pendapatan yang mencukupi serta persaingan di antara pekerja bebas yang lain.
Jadi, bagaimanakah cara untuk menarik perhatian klien dan mendapat pendapatan yang lebih banyak sebagai seorang pekerja bebas?
- Kualiti pemasaran diri yang baik. Pastikan klien melihat anda sebagai individu yang boleh dipercayai dan diharapkan dalam menyempurnakan tugasan yang diamanahkan.
- Sentiasa mengemaskini portfolio dan hasil kerja. Jika hasil kerja anda memuaskan, anda boleh meminta klien memberi testimoni tentang keberkesanan hasil tugasan tersebut.
Tip: Untuk sentiasa mengekalkan penampilan dan tanggapan diri yang positif dan profesional, anda boleh menyediakan laman web sendiri atau akaun
LinkedIn yang semakin meningkat penggunaannya.
- Mewujudkan profil di pelbagai platform. Keberadaan dalam ruang maya juga penting untuk memastikan diri anda sentiasa aktif menerima projek baharu yang sesuai dengan kemahiran anda.
Tip: Sama ada anda seorang ‘programmer’, penulis, pereka grafik atau pelukis, pastinya ada platform yang sesuai mengikut portfolio anda seperti berikut:
- : khusus untuk kerja digital, perisian, reka bentuk dan pembangunan web.
Rtist Malaysia: platform yang sesuai untuk pekerjaan kreatif serta menawarkan manfaat lain seperti pemberitahuan bengkel profesional dan tawaran harga murah atau percuma khusus untuk ahli platform tersebut.
- : platform ini memberikan polisi perlindungan kepada anda dan klien, dalam memastikan kedua-dua pihak mematuhi perjanjian dan pembayaran selepas selesainya tugasan.
Jika anda ingin mencari pendapatan tambahan dalam talian, berikut adalah tiga tips mudah:
- Wujudkan kandungan digital (e-buku, kursus dalam talian, aplikasi telefon pintar)
- Menjual produk sebagai pihak ketiga (menjadi ejen dropship, pemasaran gabungan)
- Memasarkan bakat/kemahiran anda (penyumbang suara latar, tutor dalam talian, pembantu maya, pemasaran media sosial)
|
Pendek kata, mencari klien merupakan proses yang berterusan dan jika anda sentiasa memperbaiki segala aspek kelemahan, ia akan terus menjadi lebih baik.. Penting juga untuk menjaga hubungan baik dengan klien agar anda masih menjadi pilihan mereka apabila mempunyai tugasan yang bersesuaian dengan kepakaran anda.
Persediaan kewangan yang stabil
Selain pengurusan masa dan pemasaran, aspek pengurusan kewangan turut diambil kira untuk memastikan aliran kewangan anda stabil setiap bulan.
- Sediakan simpanan kecemasan. Simpanan kecemasan semestinya penting untuk semua golongan yang bekerja, tetapi ianya lebih penting untuk seorang pekerja bebas. Sebagai contoh, jika anda menghadapi kesukaran untuk mencari klien atau projek untuk tempoh yang lama, simpanan kecemasan boleh membantu anda untuk menampung perbelanjaan harian. Ingat, isi semula tabung kecemasan setelah anda kembali dapat projek baru.
- Awasi perbelanjaan anda. Utamakan perbelanjaan bulanan anda untuk pembayaran penting seperti sewa rumah, bil utiliti atau pembayaran pinjaman kenderaan atau pendidikan. Sebagai contoh, anda boleh menyediakan bajet bulanan untuk membantu anda mengenalpasti komitmen bulanan anda, sekaligus membantu anda memahami jumlah projek yang perlu dilakukan.
- Dapatkan insurans kesihatan dan nyawa.Yang lebih membimbangkan adalah pekerja bebas tidak dilindungi oleh insurans kesihatan yang kebiasaannya disediakan oleh majikan. PERKESO telah memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang melindungi pekerja bebas jika ditimpa kecederaan dan kemalangan ketika menjalankan sesuatu tugasan.
Jangan biarkan kebimbangan ini menghalang anda untuk menjadi pekerja bebas kerana terdapat pelbagai insurans
kesihatan atau nyawa dengan harga yang berpatutan, bergantung kepada keperluan anda.
- Mencarum bersama i-Saraan KWSP. Sebagai pekerja bebas, anda masih boleh menyediakan persiapan persaraan dengan mencarum secara sukarela iaitu i-Saraan. Anda jugak layak untuk mendapat insentif khas daripada pihak kerajaan sebanyak 15% setahun ke atas caruman anda.
Kesimpulannya, persediaan kewangan dan pengurusan kerja yang rapi sangat penting bagi pekerja bebas. Ia pula perlu disokong oleh rutin harian yang sistematik dan penetapan minda dalam mengutamakan kualiti kerja yang baik.