Cara Memupuk Daya Ketahanan Kewangan Generasi Milenial

Jika anda berusia antara 25 hingga 40 tahun, anda adalah sebahagian daripada generasi milenial.
 
Jumlah generasi milenial yang bekerja di Malaysia dijangka akan meningkat kepada 75% pada tahun 2025.  Generasi ini merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara oleh sebab itu kesan pandemik COVID19 kepada generasi milenial harus diberi perhatian.
Mengikut kertas kerja Khazanah Research Insitute (KRI), pandemik ini telah memberi kesan secara langsung kepada golongan belia melalui peningkatan kadar pengangguran dan jurang pendapatan. Situasi ini pula lebih dirasai bagi mereka yang terjejas akibat pengurangan gaji atau pemberhentian kerja.
 
Jadi, sangat penting untuk generasi milenial memahami dan memiliki daya ketahanan kewangan serta merancang bagaimana untuk menyimpan dan membelanjakan wang mereka.
 
Konsep daya ketahanan kewangan ini disokong oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang merupakan salah satu ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).
 
Sebenarnya, usaha untuk mewujudkan daya ketahanan kewangan yang lebih baik adalah tanggungjawab bersama setiap individu.
 
 

Bagaimana generasi milenial boleh memupuk ketahanan kewangan?

 
Dari umur 25 hingga 40 tahun, anda sedang mengembangkan kerjaya dan menjaga kelangsungan hidup keluarga anda. Dalam kesibukan ini, jangan lupa untuk menguruskan kewangan anda dengan 3 tabiat kewangan sihat ini.
 

1. Menyediakan tabung kecemasan

 
Tabung kecemasan merupakan jaringan kewangan paling penting jika berlakunya sebarang situasi kecemasan yang tidak diduga, seperti kehilangan pekerjaan atau ditimpa kemalangan. Tahukah anda, hanya 24% rakyat Malaysia boleh menampung hidup mereka selama 3 bulan jika mereka hilang mata pendapatan? Secara tidak langsung, generasi milenial telah menyumbang kepada peratusan yang membimbangkan ini.
 
Oleh itu, generasi milenial perlu menyediakan simpanan tabung kecemasan yang mencukupi untuk menampung sekurang-kurangnya 6 bulan perbelanjaan, seperti sewa, makanan, bil utiliti, kos pengangkutan dan sebagainya. Anda boleh mula menyediakan tabung kecemasan melalui 4 langkah mudah ini.
 
Tabung kecemasan dapat memberikan ketenangan minda dan jiwa kerana sebarang situasi kecemasan boleh menelan perbelanjaan yang besar.
 

2. Dapatkan perlindungan insurans

 
Walaupun kita sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, keadaan kesihatan boleh berubah sekelip mata. Kebanyakan golongan milenial sekarang lebih mudah untuk terdedah kepada penyakit seperti  tekanan darah tinggi dan kemurungan.
 
Dalam sesetengah senario, golongan ini mungkin tidak dapat meneruskan perkerjaan dan memperoleh pendapatan yang menjejaskan keupayaan mereka untuk terus bertahan dari segi kewangan.
 
Justeru, perlindungan insurans penting untuk mengurangkan risiko anda terhadap sebarang ketidaktentuan sekali gus mengukuhkan lagi daya ketahanan kewangan anda.
 
Sebelum memilih pelan insurans, anda juga perlu tahu perbezaan manfaat dan perlindungan pelan tersebut agar ia bersesuaian dengan keperluan anda. Di sini kami berikan maklumat terperinci mengenai pelbagai pelan insurans yang terdapat di pasaran masa kini.
 
Pemilik sijil takaful dan polisi insurans juga akan dilindungi daripada kehilangan manfaat takaful dan insurans sekiranya ahli penginsurans PIDM muflis. Perlindungan ini disediakan oleh PIDM secara automatik -  tiada permohonan dan tiada bayaran untuk perlindungan ini. Untuk maklumat lanjut, sila semak pautan ini.

 

3. Sentiasa menguruskan hutang anda

 
Pengurusan hutang yang baik juga adalah salah satu langkah penting dalam memastikan kewangan anda sentiasa kukuh. Jika anda sentiasa memantau jumlah hutang yang ada, anda akan dapat mengawal pengurusan hutang secara menyeluruh dan membayar ansuran yang sesuai mengikut jumlah pendapatan bulanan anda. Satu cara mudah untuk anda mengurus hutang adalah dengan membuat pengiraan nisbah pembayaran hutang anda.
 
Berikut adalah contoh pengiraan nisbah pembayaran hutang (DSR) untuk menilai jumlah komitmen hutang dan berapa pendapatan anda diperlukan untuk membayarnya. Institusi kewangan biasanya akan melihat kelayakan anda melalui DSR dalam menentukan kelayakan pinjaman baru dan jumlah yang layak dipohon.
 
DSR = (Jumlah komitmen bulanan ÷ pendapatan bulanan) x 100%
 
Jumlah komitmen bulanan RM700 pinjaman kereta + RM200 PTPTN + RM200 kad kredit = RM1,100
Pendapatan bulanan RM5,000
DSR = (RM1,100 ÷ RM5,000) x 100% = 22%
 
Kebiasaannya, DSR di antara 31% hingga 50% dilihat sebagai tahap yang baik.
 
Sudah tentu salah satu cara generasi milenial boleh menambah baik DSR adalah dengan mengutamakan pembayaran hutang. Selain itu, mereka juga boleh menambah pendapatan dengan melakukan pekerjaan tambahan seperti pekerjaan bebas atau bekerja secara sambilan di sektor ekonomi gig.
 
Generasi milenial harus sentiasa memastikan DSR mereka berada dalam keadaan yang paling baik agar pemberi pinjaman yakin dan selesa terhadap kestabilan kewangan. Anda juga boleh menyemak DSR anda menggunakan kalkulator skor kredit PIDM di sini.
 
Konsep daya ketahanan kewangan adalah suatu usaha yang berterusan, jadi tabiat kewangan sihat perlu diamalkan untuk terus mempertingkatkan daya ketahanan kewangan anda.
 
 

Mengamalkan 3 tabiat kewangan sihat ini

 
Anda boleh mempertingkatkan daya ketahanan kewangan dengan tabiat kewangan yang sihat seperti berikut:
 

1. Menguruskan perbelanjaan

 
Langkah pertama dalam menguruskan perbelanjaan secara berkesan adalah dengan mengenal pasti jumlah pendapatan penuh selepas penolakan cukai. Jika anda mempunyai pendapatan sampingan lain seperti bekerja separuh masa atau bekerja secara bebas, pastikan anda menolak segala perbelanjaan cukai dan perbelanjaan perniagaan sebelum mengira jumlah keseluruhan.
 
Seterusnya, kenal pasti jumlah perbelanjaan bulanan tetap dan tidak tetap serta perbelanjaan tahunan anda. Cara ini dapat mengelakkan anda mengeluarkan jumlah yang banyak sekali gus. Sebaliknya, anda akan lebih bersedia menguruskan segala perbelanjaan.
 
Perbelanjaan Bulanan Perbelanjaan Tahunan
Perbelanjaan tetap:
  • Pembayaran pinjaman atau hutang/ sewa rumah
  • Utiliti rumah
  • Bil kad kredit
 
Perbelanjaan tidak tetap:
  • Makanan harian
  • Kos pengangkutan
  • Barangan runcit
 
Kos bulanan tambahan:
  • Langganan hiburan seperti internet, Netflix, Spotify dan lain-lain
  • Keahlian gim
  • Pelan telefon bimbit
 
  • Insurans dan cukai jalan kereta
  • Pemeriksaan kesihatan (termasuk pergigian dan optometri)
  • Penyelenggaraan rumah
  • Yuran tahunan kad kredit
  • Yuran keahlian tahunan (kelab/persatuan, kedai runcit/pasaraya)
 
 
 
Perbelanjaan yang terurus dapat memastikan anda sentiasa berbelanja mengikut bajet, dan bukannya di luar kemampuan.
 

2. Pelbagaikan sumber pendapatan anda

 
Selain daripada mengurus kewangan secara bijak, anda juga boleh pertimbangkan untuk menambah pendapatan anda. Selain daripada sumber pendapatan pekerjaan tetap, anda juga boleh mempelbagaikan pendapatan anda melalui cara lain.
 
Antara cara popular untuk menambah sumber pendapatan adalah:
  • Memulakan perniagaan dalam talian dengan menyediakan makanan, minimum atau perkhidmatan sendiri atau menjual barangan penyedia lain (dropship).
  • Menyedia dan menjual kandungan digital (e-buku, templat, fotografi stok, pembelajaran dalam talian, menghasilkan jingle lagu, mencipta aplikasi)
  • Melakukan pekerjaan jarak jauh (virtual assistant atau pembantu maya, jualan dalam talian, khidmat pelanggan, mengajar dalam talian)
 
Mungkin lebih mudah untuk anda menjana pendapatan dengan menukar minat dan hobi anda kepada skil dan kemahiran. Walaupun sesetengah pekerjaan mungkin memberikan pulangan yang sedikit, apa yang penting adalah usaha dan disiplin anda dalam mencapai daya ketahanan kewangan yang kukuh.
 

3. Mengukuhkan pengetahuan kewangan

 
Menjadi seseorang yang berpengetahuan luas dalam aspek kewangan adalah perkara yang sangat penting dalam mempertingkatkan daya ketahanan kewangan anda.
 
Berikut adalah beberapa langkah mudah untuk anda meningkatkan pengetahuan kewangan anda:
  1. Belajar untuk menyediakan bajet
  2. Mula menabung
  3. Rajin membaca agar pengetahuan kewangan lebih luas
  4. Menghadiri webinar atau bengkel kewangan
 
Anda boleh melayari laman web seperti Financial Education Network, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan laman web kempen ketahanan kewangan PIDM di sini #SediaPayungKewangan
 
Perkongsian di atas ini antara cara yang terbaik untuk memastikan daya ketahanan kewangan anda terus kekal.  Ingat, tidak kira anda daripada generasi milenial, baby boomer, X atau Z, setiap amalan kewangan anda hari ini menjadi penentuan kestabilan kewangan masa hadapan anda.
 
 
Share to