PIDM adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM). Dalam memenuhi mandat kami sebagai pihak berkuasa perlindungan konsumer kewangan dan juga pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahli, PIDM melindungi konsumer kewangan di Malaysia dengan:
Bagaimana PIDM Melindungi Konsumer Kewangan
PIDM melindungi deposit serta manfaat takaful dan insurans sekiranya sesebuah institusi ahli gagal. Perlindungan disediakan secara automatik dan tiada bayaran dikenakan untuk deposit yang layak sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli serta manfaat takaful dan insurans yang layak sehingga RM500,000 bagi setiap pemilik polisi di setiap ahli penginsurans.
PIDM melaksanakan aktiviti kesedaran awam secara meluas agar konsumer kewangan menyedari tentang wujudnya sistem perlindungan PIDM dan memahami manfaat dan hadnya. Ini adalah penting supaya konsumer kewangan memiliki kefahaman yang jelas dan mempunyai keyakinan terhadap sistem perlindungan kewangan ini, justeru dapat mengurangkan risiko berlakunya bank run terhadap institusi ahli ketika dalam keadaan tertekan atau ketidaktentuan.
PIDM menggalakkan pengurusan risiko yang wajar dengan mengumpul premium dan levi tahunan daripada institusi ahli melalui rangka kerja Sistem Premium Berbeza bagi bank ahli, rangka kerja Sistem Levi Berbeza bagi ahli insurans (DLS) dan rangka kerja Sistem Levi Berbeza bagi pengendali takaful (DLST). Bayaran ini ditentukan berdasarkan profil risiko setiap institusi ahli. Premium dan levi dibayar oleh institusi ahli terlebih dahulu semasa operasi perniagaan seperti biasa (business as usual) bagi memastikan dana tersedia ketika resolusi institusi ahli.
Sebagai pihak berkuasa resolusi, peranan PIDM adalah untuk menangani kegagalan institusi ahli dengan segera dan efektif untuk mengurangkan gangguan kepada konsumer kewangan, memelihara kestabilan sistem kewangan serta mengelakkan potensi krisis ekonomi yang lebih meluas. Kami mempunyai rangka kerja resolusi yang kukuh yang membolehkan kami melaksanakan resolusi dengan segera dan teratur memastikan pendeposit mendapat akses segera kepada simpanan mereka. Kami juga telah mewujudkan sistem bayaran balik bersepadu bagi memastikan bayaran balik kepada pendeposit dapat dilaksanakan segera sekiranya berlaku kegagalan bank.
Bagi memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam pengurusan krisis dan resolusi, PIDM bekerjasama rapat dengan rakan jaringan keselamatan kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan dengan membangunkan rangka kerja antara agensi dan latihan simulasi bersama. Usaha ini merangkumi penyediaan interagency crisis preparedness binder yang menyediakan panduan jelas dan teratur bagi langkah-langkah tindak balas terhadap krisis. Di peringkat antarabangsa, PIDM berhubung dengan pihak berkuasa resolusi luar negara melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan penyertaan dalam kumpulan pengurusan krisis (crisis management groups), serta menyertai simulasi rentas sempadan bagi meningkatkan tahap persediaan dan penyelarasan dalam menangani krisis dengan efektif.