Biasiswa

PIDM Anugerah Biasiswa Sarjana Muda 2025 Kepada 20 Pelajar Cemerlang

28/09/2025
PIDM Anugerah Biasiswa Sarjana Muda 2025 Kepada 20 Pelajar Cemerlang

Kuala Lumpur, 22 September 2025: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah menganugerahkan biasiswa kepada 20 pelajar di bawah Program Biasiswa Sarjana Mudanya. Program ini, sejak penubuhannya pada tahun 2010, telah lama menyokong pelajar cemerlang yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

 

“Di sebalik setiap penerima biasiswa terdapat kisah ketabahan dan potensi besar. Seperti yang kita maklum, bagi kebanyakan keluarga, kos pembiayaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi amat mencabar. Oleh itu, Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM bertujuan untuk menyokong pelajar cemerlang ini agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran dan berpeluang untuk mencipta impak positif yang berkekalan bagi keluarga dan masyarakat,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.

 

Rafiz turut menekankan kepentingan menyokong dan membina generasi akan datang yang akan menjadi penyumbang kepada pembangunan negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan. Sebagai sebuah organisasi yang melindungi konsumer kewangan, PIDM yakin bahawa pendidikan adalah jaringan keselamatan yang penting untuk generasi muda demi menjamin masa depan yang lebih baik.

 

Sejak dimulakan pada tahun 2010, Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM telah memberi bantuan kepada 270 pelajar yang layak untuk meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk perakaunan, ekonomi, sains aktuari, sains komputer dan teknologi maklumat.

 

Adeline Liew Pei Fen, 20, dari Kuching, Sarawak, yang mencapai keputusan paling cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mengetahui tentang biasiswa tersebut selepas terlihat satu hantaran mengenainya di media sosial. Beliau berminat untuk memohon setelah membaca tentang pengalaman penerima biasiswa terdahulu.

 

"Saya gembira permohonan diterima dan saya kini lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam pengajian peringkat universiti saya," kata Adeline, yang bercita-cita menjadi seorang ahli ekonomi. Beliau mengagumi sepupunya, yang merupakan ahli keluarga pertama memperoleh ijazah pendidikan tinggi, sebagai sumber inspirasinya.

 

Visnu, 21, dari Kluang, Johor berkata, beliau memohon pelbagai program biasiswa dengan harapan dapat menyempurnakan pengajian tingginya dalam bidang Sains Sosial (Ekonomi) di Universiti Sains Malaysia. Beliau mencapai keputusan akademik cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM serta aktif menyertai pelbagai aktiviti di peringkat kebangsaan.

 

"Biasiswa ini telah meringankan beban saya. Ia membantu saya untuk fokus mencapai kecemerlangan dalam pengajian dan tidak perlu risau tentang bagaimana saya sekeluarga perlu menampung kosnya," kata Visnu, yang bercita-cita untuk menceburi bidang perbankan atau menjadi penganalisis ekonomi.

 

Mohamad Riyaz bin Mubarak Ahamed, 19, dari Seri Kembangan, Selangor, memulakan pembelajaran dalam bidang Kewangan Gunaan di Universiti Putra Malaysia selepas menamatkan pengajian matrikulasinya. Baginya, biasiswa ini bukan hanya sekadar bantuan kewangan; ia juga menyediakan peluang untuk pementoran, bimbingan dan latihan praktikal.

 

"Saya sangat bersyukur kerana terpilih. Saya berharap mendapat pendedahan kepada pengalaman dunia sebenar yang akan membantu kerjaya saya pada masa depan," kata Mohamad Riyaz, yang berhasrat menjadi seorang perancang kewangan.

 

Adeline, Visnu, Mohamad Riyaz dan penerima lain menerima biasiswa mereka daripada PIDM pada majlis yang turut dihadiri penerima biasiswa yang baru menamatkan pengajian, ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan PIDM.

 

Program Biasiswa Ijazah Sarjana Muda PIDM menyediakan sokongan kewangan kepada penerima biasiswa untuk melanjutkan dan menyempurnakan pengajian tinggi mereka. Bantuan komprehensif ini merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup dan alatan pembelajaran. Menerusi program ini, penerima biasiswa juga berpeluang menjalani latihan industri dan menerima bimbingan daripada mentor di PIDM.

 

Bagi maklumat lanjut tentang Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, sila layari laman sesawang PIDM.  Video mengenai penerima biasiswa kami yang terdahulu boleh didapati  di sini.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
 
Sarina Ariffin, Ketua, Komunikasi Korporat
(Tel: 03-2303 0420; Emel: [email protected])
 
Masami Mustaza, Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat
(Tel: 016-3643406; Emel: [email protected])

  

MENGENAI PIDM

 

Ditubuhkan pada tahun 2005, PIDM mentadbir dua sistem perlindungan – Sistem Insurans Deposit (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS). Sebagai tambahan kepada mandat perlindungan konsumer kewangannya, PIDM juga merupakan pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya. Dalam peranan ini, PIDM bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan resolusi segera sekiranya institusi ahli gagal, sekali gus meminimumkan gangguan kepada konsumer kewangan dan memelihara kestabilan sistem kewangan.

 

Sebagai sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, PIDM juga bekerjasama rapat dengan rakan agensi dan industri kewangan lain dalam bidang berkepentingan bersama untuk manfaat dan perlindungan pengguna kewangan.

 

PIDM juga merupakan penggerak literasi kewangan dan bertujuan untuk membina masyarakat yang celik kewangan dan berdaya tahan kewangan melalui kempen kesedarannya. 

 

Bagi maklumat lanjut: